Jumaat, 16 Jun 2017

Siasatan 1MDB: DiCaprio serah trofi Oscar dimenangi Brando

 
Leonardo DiCaprio turut memulangkan barang lain yang diberikan kepadanya sebagai hadiah untuk lelongan amal dan berasal daripada orang dikaitkan dengan 1MDB.


leonardo-1 

LOS ANGELES: Pelakon, Leonardo DiCaprio menyerahkan trofi Oscar dimenangi Marlon Brando kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat yang menyiasat dakwaan pengubahan wang dikaitkan dengan dana 1MDB, kata wakilnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

DiCaprio turut memulangkan barang lain tidak dikenali yang diberikan kepadanya sebagai hadiah untuk lelongan amal dan berasal daripada orang dikaitkan dengan dana pelaburan milik kerajaan Malaysia itu.

Julai tahun lalu, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) melalui saman sivilnya menuduh syarikat penerbitan Hollywood, Red Granite menggunakan AS$100 juta daripada dana 1MDB untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi DiCaprio pada 2013.

DiCaprio berkata, Oktober lalu, beliau memberi kerjasama dalam siasatan itu dan akan memulangan hadiah atau sumbangan diterimanya, jika ia didapati datang daripada sumber yang dipertikaikan.

“DiCaprio memulakan pemulangan barang-barang ini yang diterimanya untuk tujuan lelongan amal tahunan bagi manfaat yayasan yang dinamakan sempena namanya.

“Beliau turut mengembalikan trofi Oscar yang dimenangi Marlon Brando dan diberikan kepadanya sebagai hadiah oleh Red Granite sebagai tanda terima kasih kepada DiCaprio untuk kerjanya dalam ‘The Wolf of Wall Street’,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Yayasan Leonardo DiCaprio yang ditubuhkan pada 1998, menyokong pelbagai projek alam sekitar.
DoJ dalam saman terbaru difailkan pada Khamis mahu mendapatkan kembali lukisan Picasso dan Jean-Michel Basquiat yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB dan dihadiahkan kepada DiCaprio oleh rakannya di Red Granite.

Kenyataan DiCaprio bagaimanapun tidak menjelaskan jika beliau sudah memulangkan 2 lukisan itu dan sekeping gambar Diane Arbus yang turut disenaraikan dalam saman DoJ.

Aset lain yang disasarkan dalam permohonan difailkan di mahkamah California semalam ialah hak cipta kepada 2 filem komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey, dan “Daddy’s Home” lakonan Will Ferrell, yang didakwa dibiayai penerbitannya menggunakan berjuta-juta dolar wang milik 1MDB.

Dalam kenyataannya pada Khamis, Red Granite berkata, ia sedang berunding dengan DoJ untuk mencari penyelesaian dan “sedang memberikan kerjasama penuh”.

Wakil Carrey dan Ferrell bagaimanapun tidak menelefon balik untuk mengulas perkara itu.

Tiada ulasan: