Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS mahu membawa satu lagi Rang Undang-undang (RUU)
Persendirian jika kerajaan gagal meneruskan cadangan menggubal Akta
Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berkata langkah
partinya itu perlu dipandang sebagai usaha menyelesaikan pelbagai isu
rasuah yang dihadapi negara pada ketika ini.
"Kalau kerajaan tidak membawa RUU ini kemungkinan ada satu lagi RUU
yang akan dibawa PAS yang melibatkan RUU berkenaan akta dana politik dan
perbelanjaan politik. Ini pendekatan kita.
"Kita mengemukakan alternatif, cadangan. Tetapi kita bukan (lakukannya)
kerana populis. Kita bercakap hal perubahan yang perlu dilakukan.
"Walaupun mereka akan mendapat 'mileage politic', tetapi ketahuilah PAS
mengutamakan penyelesaian kepada masalah negara," katanya ketika
menyampaikan ucapannya di Munaqasyah Rakyat di sini, hari ini.
Zuhdi mengulas langkah kerajaan pada tahun lalu yang mahu menggubal
Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik yang mana menetapkan kesemua
ahli politik supaya mengisytiharkan dana yang diterima atau disiasat
atau dikenakan tindakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low sebelum ini berkata
akta itu akan mengharamkan sumbangan tunai daripada sumber asing, sama
ada kepada parti atau ahli politik, termasuk individu, syarikat, yayasan
atau persatuan yang berdaftar atau tidak berdaftar serta yang tidak
berpejabat di negara ini.
Malah apabila ia diluluskan kelak, akta itu juga boleh mengenakan
larangan kepada perniagaan milik kerajaan dan syarikat terima kontrak
kerajaan atau konsesi membuat sumbangan politik secara langsung, tidak
langsung atau berupa barangan.
Segala sumbangan yang diterima dan dibenarkan perlu disalurkan ke dalam
akaun parti atau akaun peribadi yang baru berasingan untuk transaksi
itu.
Zuhdi ketika mengulas lanjut berkata PAS dan parti gabungan
kerjasamanya, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) menyokong usaha yang
mahu diusulkan kerajaan itu.
"Kita kemukakan hujah iaitu untuk selesaikan masalah ekonomi negara,
yang kita selesaikan pendekatan Islam bukan hanya prinsip tetapi
penyelesaian teknikalnya juga.
"Kita juga kemukakan dokumen penting bersama dengan parti IKATAN, yang
muktahir satu memorandum Gagasan Sejahtera menyokong penggubalan akta
dana politik dan perbelanjaan yang cuba dibuat oleh kerajaan melalui
menterinya, Paul Low.
"Cuma setakat ini belum nampak bila ia akan dibawa. InshaAllah dalam
perbincangan malam tadi, kita akan desak (usul)," ujarnya lagi.
Bagaimanapun cadangan kerajaan itu mendapat kritikan pembangkang yang menyifatkan ia sebagai berat sebelah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan