KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengulas
mengenai kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) ketika
lawatannya ke kawasan Felda di Kulai, Johor, esok.
"Saya akan komen (mengenai isu FGV) ketika saya melawat ke kawasan
rancangan Felda di Johor esok," katanya pada sidang media Mesyuarat
Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala
Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut yang melanda FGV.
Diminta mengulas mengenai pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai
pihak berkecuali bagi meneliti isu berkenaan, Najib sekali lagi berkata
beliau akan memberi komennya berhubung perkara itu esok.
"Esok (saya akan komen). Di Johor," katanya lagi.
Pada jam enam petang esok, Najib dijadualkan hadir taklimat Koperasi
Sungai Sayong dan melawat projek perumahan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia
(RMR1M) Felda dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) di tapak projek
perumahan, Sungai Sayong, Kulai.
Beliau kemudian akan menyertai program Ihya Rahmat Ramadan Felda
Peringkat Kebangsaan 2017 di Padang Sekolah Kebangsaan Felda Sungai
Sayong, Kulai.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat
FGV di Kuala Lumpur dan beredar dengan empat kotak, beberapa bungkusan
dan tiga beg tarik.
Barang rampasan itu diambil selepas kumpulan besar penguat kuasa,
difahamkan 40 orang, menggeledah pejabat ketua pegawai eksekutif
Kumpulan (CEO) FGV Datuk Zakaria Arshad di tingkat 45 Menara Felda di
ibu negara.
Difahamkan rampasan itu dibuat bagi melengkapkan susulan keterangan Zakaria kepada SPRM semalam.
Selasa lalu, lembaga pengarah FGV mengarahkan empat pegawai kanan
agensi perladangan itu, termasuk presiden kumpulan dan ketua pegawai
eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, bercuti berkuat kuasa serta merta.
Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman
dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada
Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
Selain Zakaria, tiga lagi yang dipaksa cuti adalah Ketua Pegawai
Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil
Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading,
Ahmad Salman Omar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan