ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
bertitah agar usaha lebih serius dapat dilakukan bagi menyedarkan para
perokok di negeri ini segera menghentikan tabiat menghisap rokok.
Dalam pada itu titah baginda, masa yang paling sesuai bagi setiap
perokok untuk melatihkan diri meninggalkan amalan merokok ialah pada
bulan puasa seperti sekarang.
"Kalau kita berpuasa 14 jam sehari dan selama itu jugalah para perokok
mampu mengawal diri mereka tidak merokok, apalah salahnya selepas
berbuka puasa diteruskan untuk tidak merokok sehingga keesokan harinya,"
titah Raja Muda.
Terdahulu baginda melancarkan kempen 'Amalan Merokok: Ancaman Kepada
Generasi Masa Depan Negara' peringkat negeri Perlis dan sumbangan
Aidilfitri kepada anak-anak yatim anjuran Majlis Hal Ehwal Agama Islam
dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kesihatan Negeri di
Masjid Negeri di sini malam tadi.
Beliau turut memetik hasil kajian yang pernah dibuat yang menyatakan 95
peratus perokok menyatakan lebih mudah mereka berhenti merokok pada
bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain.
Titah baginda, mesej-mesej berkaitan bahaya amalan merokok hendaklah
sentiasa diuar-uarkan terutama di sekolah-sekolah, Institusi Pengajian
Tinggi (IPT), masjid dan surau di seluruh negeri Perlis untuk memberi
kesedaran kepada orang ramai mengelakkan diri daripada menjadi perokok
bagi menjaga kesihatan diri.
Anggota jawatankuasa masjid yang merokok pula, tambah baginda, harus
mula sedar dan mengambil inisiaitif ke atas diri sendiri untuk turut
sama-sama berhenti merokok memandangkan mereka merupakan antara contoh
terbaik di kaca mata masyarakat dan perlu mempamerkan teladan yang baik.
Baginda berpendapat kekuatan institusi kekeluargaan penting sebagai
sumber sokongan utama sama ada bagi perokok yang ingin berhenti merokok
mahupun bagi setiap individu dalam keluarga tersebut untuk lebih
menghargai dan mensyukuri nikmat kesihatan diri mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan