PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pujut di Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata ketetapan itu
selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada Sabtu lepas yang
mengekalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.
"Notis pemakluman mengenai pembatalan PRK N74 Pujut akan dipamerkan
oleh pegawai pengurus pilihan raya di Dewan Suarah Miri dan Pejabat
Pegawai Pengurus Pilihan Raya hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ketetapan itu diputuskan menerusi mesyuarat khas susulan keputusan
Mahkamah Tinggi Kuching membatalkan keputusan DUN Sarawak melucutkan
keanggotaan Dr Ting sebagai ADUN Pujut.
"Mesyuarat khas hari ini memutuskan bahawa proses PRK tersebut dan
tarikh-tarikh yang ditetapkan sebelum ini adalah terbatal sejajar dengan
keputusan mahkamah itu," kata Hashim.
SPR sebelum ini menetapkan 20 Jun sebagai tarikh penamaan calon dan 4 Julai sebagai hari mengundi bagi kerusi itu.
Pada 12 Mei lepas, Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai ADUN Pujut
kerana beliau didakwa pernah memegang dua kewarganegaraan (Malaysia dan
Australia) selepas usul itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua
Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan diluluskan dengan undi 70-10.
Pelucutan keanggotaan Dr Ting menyebabkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Pujut.
Pada 7 Jun lepas, Dr Ting memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan DUN itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan