KOTA TINGGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu kemelut yang
melanda Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) diselesaikan segera
sebelum bulan Ramadhan berakhir.
Kata Najib, tiga prinsip perlu ditekankan dalam penyelesaian kemelut
berkenaan, yang mana pokoknya penyelesaian isu itu mesti mematuhi
undang-undang syarikat selaras kedudukan FGV yang disenaraikan di bursa
saham.
"Prinsip penyelesaian kedua, ia mesti selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik.
"Ketiga, proses yang nak dilakukan sehingga kebuntuan keputusan
muktamad mesti melalui proses yang adil," katanya ketika berucap pada
Program Ihya Ramadan FELDA peringkat kebangsaan 2017 dan Majlis Berbuka
Puasa bersama Perdana Menteri di Padang Sekolah Kebangsaan LKTP Sungai
Sayong, di FELDA Sungai Sayong di sini, malam ini.
Tambahnya, isu itu sudah dibincang dengan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad dan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad.
"Kita melantik Datuk Seri Idris Jala untuk menjalankan siasatan
terhadap apa yang berlaku berpandukan tiga prinsip yang saya sebutkan
ini.
"Ini bagi memastikan fakta yang dapat kita tentukan itu adalah fakta yang tepat dan akhirnya kita dapat buat keputusan.
"Saya mengharapkan isu ini diselesaikan secepat mungkin, saya ingat
dapat selesaikan pada bulan Ramadan ini juga," katanya lagi.
Selasa lalu, lembaga pengarah FGV mengarahkan empat pegawai kanan
agensi perladangan itu, termasuk presiden kumpulan dan ketua pegawai
eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, bercuti berkuat kuasa serta merta.
Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman
dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada
Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
Selain Zakaria, tiga lagi yang dipaksa cuti adalah Ketua Pegawai
Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil
Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading,
Ahmad Salman Omar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan