Sabtu, 10 Jun 2017

PBB tak terikat senarai ‘pengganas’ dikeluarkan empat negara Arab


ISMA WEB




NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak terikat dengan senarai ‘pengganas’ yang dikeluarkan Arab Saudi dan tiga negara Arab lain.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, beliau telah membaca laporan media bahawa empat negara Arab menuduh tiga badan amal berpangkalan di Qatar terbabit dalam ‘keganasan’.

Badan Amal Qatar, pertubuhan sukarela terbesar di negara itu, telah bekerjasama secara meluas dengan UNHCR, UNICEF dan Program Makanan Sedunia, Oxfam, CARE dan USAID.

Yayasan Amal Sheikh Eid Al-Thani dan Yayasan Sheikh Thani Bin Abdullah bagi perkhidmatan kemanusiaan juga disenaraihitamkan oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain, Khamis lalu.

“PBB hanya terikat kepada senarai sekatan yang dikeluarkan bersama oleh agensi PBB, seperti Majlis Keselamatan. Kami tidak terikat dengan senarai lain.

“Pejabat Penyelarasan bagi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB sejak bertahun lalu mengadakan kerjasama kukuh dengan pertubuhan itu,” katanya.

Sejak diwujudkan pada 1984, Badan Amal Qatar menaja 213,750 anak yatim sehingga mereka dewasa dan membina lebih 621 sekolah di seluruh dunia.

Pada 2014, PBB menyenaraikan badan amal itu di tempat pertama kerana bantuan yang diberikan di Syria, Palestin dan Somalia.

Sejak bermulanya krisis Syria lebih enam tahun lalu, Badan Amal Qatar membantu lebih lapan juta warga negara itu. – Agensi


Tiada ulasan: