Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Tidak
menguntungkan. Lantas DAP pun bersuara tidak cenderung pada idea Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat mahu memonopoli kuasa dan
pengaruh dalam Pakatan Harapan (PH).
DAP
pada asasnya tidak akan bersetuju dengan mana-mana langkah politik yang
tidak memberi pulangan nyata. Ia boleh bekerjasama dengan sesiapa dan
menurut strategi apa jua jika ia menguntungkan.
Sebab itu DAP sanggup bekerjasama dengan PAS beberapa kali meskipun
percubaan sebelum itu gagal. Ia pernah menyertai Semangat 46 dan PAS
dalam Barisan Alternatif dan Gagasan Rakyat. Terakhir sekali bekerjasama
dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.
Namun dalam kes mahu melonjakkan lagi kerjasama dalam PH yang
bercita-cita bertarung dalam Pilihanraya Umum ke-14 menggunakan satu
manifesto dan logo, DAP nyata tidak bersetuju dengan penstrukturan yang
dicadangkan oleh PPBM.
Cadangan itu herot. DAP melihat PPBM cuba “mendominasi” PH dengan
meletakkan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamed dan Presidennya, Tan Sri
Muhyiddin Yassin pada posisi yang sama pula dalam struktur PH.
Dalam perkataan lain DAP membaca PPBM mahu “mengambil alih” kepimpinan pakatan itu.
Keresahan ini disuarakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang
melihat pakej cadangan PPBM itu sebagai tidak memenuhi aspirasi DAP, PKR
dan Amanah.
"Saya tidak akan bersetuju jawatan pengerusi dan presiden (PH) diisi
oleh BERSATU (PPBM). Ini adalah suatu monopoli dan penguasaan kawalan
(terhadap PH)," katanya.
Jumaat
lalu Majlis Presiden PH bermesyuarat mengenai struktur kepimpinan PH
menjelang PRU ke-14 yang akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan
(RoS) dalam masa terdekat. Difahamkan struktur itu akan diumumkan minggu
ini.
Dr Mahathir dan Muhyiddin dinamakan sebagai Pengerusi dan Presiden PH,
sementara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuma dicadangkan
sebagai Penasihat gagasan itu sahaja.
Guan Eng masih kaget syor PPBM ini boleh diketahui pihak media namun
yang pasti beliau menganggap butir sedemikian adalah tidak wajar dan
tidak boleh beliau persetujui.
Cadangan PPBM itu juga menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
sebagai Timbalan Pengerusi dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai
Timbalan Presiden PH.
Meskipun Guan Eng bersetuju Dr Mahathir dilantik sebagai kepimpinan
utama dalam mengetuai pilihan raya, beliau menyifatkan Anwar masih tokoh
yang relevan dalam politik negara.
"Kami menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri tetapi kita perlu
terima hakikat bahawa Anwar tidak boleh menduduki jawatan itu terus atas
faktor kelayakan (undang-undang).
"Justeru, akan ada tempoh peralihan sementara," katanya.
Perkembangan ini pastinya meresahkan PKR yang tegar mahu Ketua Umumnya
itu mengisi kerusi perdana menteri jika pembangkang memenangi PRU ke-14.
Malah pandangan bapa Guan Eng, Lim Kit Siang sebelum ini bahawa Anwar
tidak mungkin menjadi perdana menteri ketujuh kerana masih dikekang oleh
statusnya sebagai banduan, agak menjengkelkan PKR.
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata Anwar masih boleh menjadi
perdana menteri selepas ini kerana beliau sebenarnya berdepan dengan
proses perundangan yang tidak normal.
"Kit Siang mungkin melihat dari segi perundangan yang normal. Sedangkan
Anwar merupakan seorang banduan yang abnormal, seorang tahanan
politik.
“Oleh kerana itu mengapa kita harus melihatnya melalui proses yang
normal? Beliau akan diadili oleh masyarakat dan negara selepas kita
menang, secara abnormal.
"Bukan ada satu keadaan sahaja untuk membebaskan Anwar, ada lagi
beberapa termasuk pengampunan total daripada Yang di-Pertuan Agong. Maka
apa jua yang menyekatnya untuk menjadi PM akan hilang.
"(Maka) Proses untuk beliau menjadi PM juga akan berlaku secara abnormal," katanya
Sebelum itu, dalam satu kenyataan Kit Siang berkata, Anwar tidak boleh
menjadi perdana menteri ketujuh meskipun bekas ketua pembangkang itu
dilihat calon utama PH ketika ini.
Ini kerana, Anwar masih terikat dengan perundangan yang menyebabkan
dirinya hilang hak memegang jawatan awam selama lima tahun dari tempoh
pembebasannya.
Kit Siang berkata, atas sebab-sebab itu, Anwar hanya boleh menjadi perdana menteri kelapan.
Johari berkata, PKR komited menjadikan Anwar calon tunggal bagi jawatan
perdana menteri dan akan melakukan pelbagai cara membolehkan pemimpin
itu bebas.
Malah, ujarnya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan
tetap menjadi 'pemanas kerusi' sebelum ia diserahkan kepada Anwar.
"Kita menang hari ini, maka kita terus juga minta ampun, esoknya Anwar
bebas dan pengampunan itu secara total. Salah seorang daripada kita akan
kosongkan kerusi.
“Kemudian SPR akan umumkan dalam tempoh 14 hari buat pilihan raya. Minggu ketiganya Anwar boleh menjadi PM," kata Johari.
Anwar pada 10 Februari 2015 dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas
Mahkamah Persekutuan mendapati bekas Ketua Pembangkang itu bersalah
atas tuduhan meliwat bekas pembantunya.
PKR masih mengulet mimpi Anwar akan menjadi perdana menteri. DAP pula
tidak kira siapa asalkan dapat ke Putrajaya. Amanah kelu berbicara.
Namun PPBM tidak jenuh berusaha mahu terus menjadi peneraju.
Dalam kepentingan yang bersilang ini, rakyat melihat bahawa yang tidak
dianyam dan ditenun rapi ialah bagaimana mahu meleburkan jambatan
kepentingan diri di kalangan parti PH ini. Jika tidak ada kesepaduan dan
keikhlasan, bagaimana mahu memerintah?
Jika congakan dan peraturan ini semua bukan mimpi, apakah dia?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan