Sabtu, 3 Jun 2017

KPT pandang serius kes kematian Zulfarhan Osman

MALAYSIAKINI



Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata ia amat prihatin dan memandang serius insiden yang berlaku ke atas mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Penuntut berusia 21 tahun itu meninggal dunia di Hospital Serdang pada Khamis malam dipercayai akibat didera.

Sehubungan itu, KPT dan UPNM akan bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses siasatan kes itu, menurut kenyataan kementerian.

Ia berkata UPNM telah menyediakan bantuan pengurusan khairat kematian dan pengurusan jenazah serta bantuan logistik bagi membawa jenazah untuk dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Kurnia, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru dengan diiringi mahasiswa UPNM.

"KPT mengucapkan takziah atas pemergian arwah dan semoga keluarga arwah tabah menghadapi ujian dalam bulan yang mulia ini," kata kenyataan itu.

Kematiannya disiasat sebagai kes bunuh dan polis telah menahan reman 36 penuntut UPNM dan Universiti Tenaga Nasional selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.- Bernama


Tiada ulasan: