KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina
Merican Merican memberi jaminan rakyat Malaysia di Qatar tidak ada
masalah untuk pulang ke tanah air untuk berhari raya.
Bagaimanapun mereka yang sudah menempah tiket perlu memeriksa jadual
penerbangan dan patuh dengan peraturan yang dikeluarkan oleh syarikat
penerbangan di negara itu.
"Saya nasihatkan rakyat Malaysia di Qatar untuk periksa jadual
penerbangan mereka kerana saya difahamkan ada obligation yang dikenakan
Qatar Airways iaitu ada ruang udara tertentu yang tidak dapat kebenaran
untuk dilalui.
"Disebabkan itu mungkin mereka yang telah menempah tiket akan berdepan
dengan rescheduling flight mereka. Itu sahaja. Yang lain tidak ada
masalah," katanya.
Reezal memaklumkan keselamatan hampir 5,000 rakyat Malaysia di Qatar
terjamin dan sentiasa dihubungi oleh kedutaan negara ini di Doha bagi
mendapatkan perkembangan semasa, selain pemantauan semasa juga
dijalankan oleh Wisma Putra.
"Ketika ini tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana krisis yang
berlaku tidak menyebabkan Qatar bertukar menjadi zon konflik, peperangan
atau apa-apa yang sampai ke tahap itu.
"Keadaan di sana terkawal dan kita sentiasa berhubung dengan rakyat
Malaysia untuk memastikan keselamatan mereka terjamin," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan