Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Sarawak mempunyai hak dalam membuat
rayuan terhadap pengisytiharan Mahkamah Tinggi Kuching yang membatalkan
pelucutan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.
Bagaimanapun menurut penganalisis politik, Dr Jeneri Amir, tindakan
tersebut tidak akan merubah keadaan yang sebaliknya sebagaimana diingini
BN.
"Mereka (BN Sarawak) perlu menerima keputusan mahkamah tinggi yang lalu
dan mereka berhak untuk mengemukakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi
dan biarkan makhmah itu tadi membuat keputusan, dan kalau masih tidak
berpuas hati mereka boleh merayu lagi di Mahkamah Persekutuan," katanya
ketika dihubungi Antarapos hari ini.
BN Sarawak baru-baru ini akan merayu ke peringkat Mahkamah Persekutuan
selepas Mahkamah Tinggi Kuching membatalkan pelucutan kelayakan ADUN
Pujut itu.
Pada 12 Mei lepas, Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai ADUN Pujut
kerana beliau didakwa pernah memegang dua kewarganegaraan (Malaysia dan
Australia) selepas usul itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua
Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan diluluskan dengan undi 70-10.
Sementara itu, Jeneri ketika mengulas lanjut keputusan Mahkamah itu
berkata, tindakan speaker yang tidak mahu mengekalkan ADUN Pujut tidak
boleh dikira kerana dia dikategorikan sebagai pendakwa.
"Jadi DUN itu sebagai badan yang menggubal undang-undang dan mahkamah sebagai badan yang menjatuhkan hukuman.
"Jadi mahkamah tempoh hari telah menjelaskan dengan konkrit dengan
hujah-hujah dan dalil-dalil berkenaan, tetapi saya fikir yang menjadi
isu sekarang ialah DUN Sarawak nak kemukakan rayuan itu tetapi sebelum
rayuan itu dibuat, mereka perlu pertimbangkan banyak perkara.
"Keputusan itu diserah balik kepada mahkamah, mereka (DUN) tidak boleh
lagi mengambil keputusan untuk memecat sekali lagi kerana itu jelas
bukan sahaja tidak menghormati mahkamah, tetapi juga menghina mahkamah
yang jelas bertentangan dengan undang-undang," jelasnya lagi.
Ditanya berkenaan hasrat DAP Sarawak yang mahu mengadakan Sidang DUN
tergempar, Jeneri berpendapat Speaker DUN Sarawak tidak akan membenarkan
tindakan itu.
"Untuk DAP mengemukakan usul itu, saya fikir DAP punya hak untuk
kemukakan usul berkenaan, tapi saya tidak percaya bahawa speaker atau
DUN Sarawak akan membenarkan usul itu untuk dibentangkan.
"Jadi soal hasrat DAP nak bentangkan usul itu di DUN, saya fikir akan
berdepan dengan cabaran kerana saya percaya BN tidak akan beri ruang
untuk isu berkenaan dibahaskan di DUN," katanya.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pada semalam berkata DUN
Sarawak perlu mengadakan sidang tergempar dalam tempoh dua minggu,
bermula pada hari ini selepas mahkamah memutuskan untuk mengekalkan ADUN
Pujut.
Chong yang juga Ketua Pembangkang Sarawak berkata keperluan sidang
tergempar itu diadakan untuk membincangkan bagaiman badan penggubal
undang-undang bertindak secara tidak sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan