PERKEMBANGAN teknologi
maklumat dan komunikasi kini berlaku dengan begitu pesat sekali, bukan
sahaja di negara ini bahkan di seluruh dunia.
Disebabkan oleh perkembangan itu, boleh
dikatakan hampir keseluruhan rakyat negara ini memperoleh maklumat hanya
menerusi hujung jari mereka.
Bagaimanakah caranya?
Caranya adalah hanya dengan melayari internet dari telefon pintar masing-masing.
Tetapi, adakah kita tahu dan selidik bahawa maklumat yang didedahkan itu adalah benar atau palsu semata-mata?
Dengan kewujudan media sosial seperti
Facebook, Twitter dan sebagainya, kita sering didedahkan dengan pelbagai
berita yang datang dari sumber-sumber yang belum pasti kesahihannya.
Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Facebook mempunyai akses untuk berkongsi apa-apa sahaja yang mereka mahu.
Ini termasuklah cerita rekaan dengan
niat untuk mengaibkan sesetengah pihak dan juga mencetuskan kekecohan
lantas lebih buruk menyebabkan ketegangan antara kaum.
Persoalannya, apa yang
membuatkan orang ramai terlampau mudah percaya dengan segala cerita yang
dikongsikan di laman-laman sosial?
Apakah pula peranan kita sebagai pengguna internet?
Kita seharusnya membuat kajian menyeluruh terlebih dahulu untuk memastikan kesahihan sebarang maklumat yang diterima.
Pastikan maklumat yang diterima itu adalah berlandaskan fakta, bukan pandangan kosong semata-mata.
Berpandukan kepada dalil Naqli iaitu ayat al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Sekiranya datang kepadamu orang yang
fasik (jahat) membawa berita maka hendaklah kamu berwaspada
(berhati-hati) akan kebenarannya”.
Ternyata, maklumat yang tepat dan benar
kesahihannya adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan
dan kepalsuan fakta.
Terutama sekali jika isu itu melibatkan soal ilmu keagamaan yang perlu dipastikan kebenarannya.
Pihak tidak bertanggungjawab sentiasa mencari jalan bagi menyeleweng dan melakukan dusta bagi tujuan menyesatkan orang lain.
Adakah terdapat saluran untuk orang ramai menyemak kesahihan maklumat yang diterima?
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) mewujudkan portal sebenarnya.my iaitu platform kepada
orang ramai bagi menyemak kesahihan berita yang tular di laman sosial.
Menerusi portal itu, SKMM akan
mendapatkan pengesahan daripada pihak terlibat atau menyemak maklumat
rasmi bagi mendapatkan laporan yang tepat.
Portal itu merupakan antara satu usaha
kerajaan dan SKMM untuk mengekang penularan laporan palsu bagi
memastikan masyarakat menerima berita benar-benar sahih.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk
Seri Dr. Salleh Said Keruak memberitahu, maklumat yang berkaitan akan
dikumpulkan, dianalisa, disahkan dan seterusnya dimuat naik dalam portal
itu untuk rujukan rakyat Malaysia
Apakah langkah penguatkuasaan yang diambil oleh kerajaan?
Sepanjang tahun 2016 hingga sehingga 1
Februari 2017, sebanyak 42 kes kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 (Akta 588) telah diambil tindakan mahkamah.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (KKMM) sendiri menyatakan, daripada jumlah tersebut, 35 kes
telah dijatuhkan hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 588 dan
perundangan subsidiarinya.
Semua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah berteraskan prosedur undang-undang yang ditetapkan.
Tindakan boleh diambil di bawah seksyen
233 Akta 588 terhadap individu yang menyalahgunakan internet atau
perkhidmatan aplikasi sebagai platform bagi menyebarkan kandungan yang
bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau yang jelik.
Jika disabitkan kesalahan, pihak
tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Sepanjang tahun 2016 hingga sehingga 1
Februari 2017 juga, sebanyak sembilan kes telah dihadapkan di mahkamah
di bawah seksyen 233 Akta 588, dan daripada jumlah itu, tiga kes telah
dijatuhi hukuman kerana penyebaran kandungan berunsur lucah dan jelik,
dan masing-masing satu kes kerana menghina institusi kerajaan; dan
kerana menghina kaum.
Pada masa yang sama, SKMM telah
mengambil tindakan terhadap individu yang didapati menawar untuk menjual
atau menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
Sebanyak 33 kes telah didakwa atas
kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan
Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang mana daripada jumlah itu, 30 kes
telah berjaya disabitkan di mahkamah dan didenda antara RM2,000 dan
RM10,000.
Kerajaan seharusnya perlu lebih serius
mengenal pasti dan mengambil tindakan kepada pihak tidak
bertanggungjawab yang bertindak menyebarkan maklumat palsu di laman
media sosial.
Mereka ini dilihat seakan tidak gentar untuk terus melakukan perbuatan itu.
Sudah tentu terdapat agenda di sebalik perbuatan sedemikian.
Kepada pengguna laman sosial pula, kita seharusnya bijak dalam membezakan antara berita yang benar ataupun palsu.
Jangan terlalu mudah percaya sesuatu maklumat hanya kerana ia selaras dengan pandangan peribadi anda.
Sekiranya anda telah menyebarkan
sesuatu perkara mengikut perasaan dan tiba-tiba anda mendapati bahawa
cerita itu hanya rekaan semata-mata, bukankah itu telah menjadi fitnah?
Janganlah kita menjadi pengguna yang mudah disesatkan dan selepas itu menyesatkan orang lain pula.
Jadilah pengguna yang bijak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan