Syarikat penyedia
perkhidmatan Grab Malaysia hari ini berkata mereka akan mempercepatkan
pelaksanaan penggunaan “butang panik” untuk kegunaan pengguna ekoran
laporan ada pelanggannya mengadu dirogol pemandu.
Butang panik itu ketika ini hanya disediakan kepada pemandu syarikat perkhidmatan pengangkutan berkenaan.
Ia membolehkan penggunanya memaklumkan segera polis jika berlaku sebarang kecemasan.
Mengulas laporan seorang pemandu ditahan
kerana dituduh merogol seorang wanita di Seri Kembangan semalam, Ketua
Grab Malaysia, Sean Goh, berkata lelaki terbabit disingkirkan daripada
perkhidmatan itu sepanjang siasatan polis berlangsung.
Katanya, kejadian itu juga amat dikesali Grab Malaysia.
“Berita itu amat menyedihkan dan
keutamaan kami sekarang ialah untuk membantu dan memberi sokongan kepada
penumpang terbabit dan keluarganya, serta membeirkan bekerjasama penuh
kepada polis serta pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini
Terdahulu Bernama melaporkan
polis menahan seorang pemandu GrabCar dipercayai merogol seorang wanita
di dalam kereta miliknya di Bandar Putra Permai.
Semak latar belakang pemandu
Dalam operasi pukul 10 malam tadi,
lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan
Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Sungai
Buloh.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata lelaki berkenaan dipercayai merogol wanita berusia 29 tahun yang menggunakan perkhidmatannya pada pukul 4 pagi.
“Ketika kejadian, mangsa dalam keadaan
mabuk dan tidak dapat melawan. Selepas itu suspek kemudiannya menghantar
mangsa pulang ke rumah.
“Polis turut merampas pakaian serta kereta jenis Myvi milik suspek,” katanya.
Kata Goh, keselamatan penumpang dan pemandu Grab sentiasa menjadi keutamaan mereka.
“Saya minta maaf kerana kami dikecewakan
pengguna dan masyarakat dalam hal ini, dan dengan rendah hati kami
meminta penumpang dan pemandu memberikan kami peluang untuk terus
meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan kami,”
katanya.
Goh juga berkata ketika ini Grab
melaksanakan saringan ketat terhadap bakal pemandunya, selain menyemak
latar belakang rekod mereka sebagai langkah berterusan mengelak sebarang
kejadian tidak diingini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan