KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Global Ventures
Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad dipaksa bercuti berkuat kuasa
serta merta oleh lembaga pengarah syarikat.
Arahan itu dikeluarkan melalui satu surat yang disampaikan setiausaha
syarikat dengan disaksikan seorang Ahli Lembaga Pengarah FGV, Datuk Dr
Omar Salim.
Surat itu disampaikan sejurus temu bual khas antara Zakaria bersama
wartawan BH dan NST berhubung isu desakan peletakan jawatannya oleh
Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad, yang disiarkan secara langsung di
Facebook Berita Harian Online.
Zakaria yang ditemui di lobi Menara FELDA berkata, sebaik temu bual itu
tamat, setiausaha syarikat bertemu dengannya dan membacakan surat
memaksa beliau bercuti, sambil disaksikan Omar dan ketua keselamatan
syarikat.
Katanya, arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan FGV menyiasat isu
tunggakan bayaran oleh syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products
(DOP), sebuah anak syarikat FGV.
"Selepas surat itu dibacakan, saya mengakui faham dengan kandungannya dan mengambil surat itu.
Tempoh bercuti tidak dinyatakan. "Saya tak ada masalah (dengan arahan
bercuti). Jika betul ikut proses, ok lah. Ini antara satu perkara yang
akan saya hadapi.
"Bagaimanapun, saya tidak menjangkakan sampai macam ini sekali sebab
benda ini bukan besar sangat. Kalau dah begini, saya hadapi dengan
tangan dan hati terbuka," katanya di sini, hari ini.
Ditanya jika ada individu lain dipaksa bercuti, Zakaria tidak
mengetahuinya, namun tidak menolak kemungkinan ada yang bakal berdepan
nasib sama.
Berhubung kemungkinan mengambil tindakan undang-undang, Zakaria akan
menunggu keputusan FGV sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
"Soal sama ada FGV memberi peluang atau tidak, saya akan pertahankan diri walau apa juga yang berlaku," katanya.
Isu desakan peletakan jawatannya bermula apabila penulis blog, Raja
Petra Kamaruddin, mendakwa Isa berusaha menyingkirkan Zakaria daripada
jawatannya kerana dianggap 'terlalu lurus' dan tidak mahu meluluskan
urus niaga 'di bawah meja'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan