Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS hari ini menyarankan agar pemimpin mencontohi sikap
telus bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
ketika mentadbir Kelantan suatu ketika dahulu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun
menjadi Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz tidak pernah menggunakan walau
sedikit peruntukan dan keistimewaan yang disediakan kepadanya.
"Model 25 tahun kepimpinan Nik Aziz di Kelantan, walaupun mendapat
pelbagai elaun, beliau tak pernah ambil. Bukan sahaja beliau, malah exco
pun tidak ambil. Apa yang kita hendak yakinkan rakyat adalah bagaimana
kita hendak bina keyakinan tersebut.
"PAS melihat mengurus perubahan lebih penting dari perubahan itu
sendiri. Sebagaimana disebut Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)
dengan melihat situasi Arab Spring, dimana rakyat mahu kerajaan yang
adil, lebih baik, lebih harmoni untuk mereka.
"Rakyat bangkit menentang kezaliman, ribuan dibunuh dan dipenjara.
Tetapi apa hasilnya? Mereka sangat kecewa. Mereka keluar mulut buaya,
masuk mulut singa. Perubahan berlaku diambil kesempatan oleh kuasa
besar," katanya merujuk kepada beberapa skandal pentadbiran dan
pengurusan yang dihadapi negara pada masa kini.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Munasyaqah Rakyat, di sini pagi tadi.
Nik Aziz yang memegang tampuk pentadbiran Kelantan sejak 1990, dikenali
sebagai seorang pemimpin zuhud yang dihormati semua pemimpin parti
politik.
Dalam pada itu ujar Tuan Ibrahim, pemimpin yang baik adalah pemimpin
yang tidak menggunakan haknya meskipun ia 'halal' untuk dirinya.
Tambahnya, jika golongan berkenaan berjaya mengelakkan perbuatan
sedemikian, maka budaya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan tidak
akan berlaku di sesebuah negara.
"Yang membezakan Islam bukan sekadar pemimpinnya yang tidak rasuah tapi
pemimpin yang tidak ambil walaupun halal dari segi konteks
undang-undang.
"Walaupun ia boleh diambil dan tidak salah, tapi pemimpin yang
kurangkan mengambil khazanah rakyat kerana hisaban Allah di akhirat,
mereka lebih aula' dari pemimpin yang mengambilnya walaupun itu
haknya," katanya.
Tuan Ibrahim berkata pemimpin yang beragama Islam perlu sedar
tanggungjawab yang dipikulnya dan tidak menyalahgunakannya kerana ia
akan dihitung di akhirat kelak.
Sementara itu mengulas kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd
(FGV), Tuan Ibrahim berkata PAS mengambil pendirian supaya pengerusi
syarikat itu, Tan Sri Isa Abdul Samad meletak jawatan dengan segera.
"Bagi pihak PAS, kami mengalu-alukan tindakan SPRM. Isu besarnya bukan
semata-mata terhadap (Datuk) Zakaria yang dituduh, tetapi pada kami isu
itu lebih besar. Kegagalan pengurusan FGV yang dipengerusikan (Tan Sri)
Isa (Samad), beliau kena bertanggungjawab.
"Dan kami lebih suka jika Isa letak jawatan atau PM sendiri buat
arahan. Jika kita tahu gagal dan teruskan kegagalan dan akhirnya akan
berulang yang sama," katanya.
Selasa lalu, lembaga pengarah FGV mengarahkan empat pegawai kanan
agensi perladangan itu, termasuk presiden kumpulan dan ketua pegawai
eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, bercuti berkuat kuasa serta merta.
Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman
dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada
Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
Selain Zakaria, tiga lagi yang dipaksa cuti adalah Ketua Pegawai
Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil
Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading,
Ahmad Salman Omar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan