Rabu, 14 Jun 2017

Cukai Pelancongan canggah saranan bercuti dalam negara

Shawaliah Hadir

 
Pelaksanaan cukai itu bukan tindakan yang baik dalam waktu ekonomi tidak stabil di samping rakyat dibebani kenaikan harga barang dan cukai-cukai lain.

KUALA LUMPUR: Cukai Pelancongan yang bakal dilaksanakan pada 1 Julai ini menerima rasa kurang senang rakyat Malaysia yang merasakan ianya bercanggah dengan saranan untuk mereka bercuti di dalam negara.

Zarina

Bagi Zarina Khairuddin, 24, secara logiknya cukai itu membuktikan karenah industri pelancongan sahaja.

Perkara seperti ini menurutnya lagi hanya akan menimbulkan persepsi yang boleh mempengaruhi pelancong dalam juga dari luar untuk datang ke Malaysia.

“Dalam negara sendiri pun nak letak cukai pelancongan, kenapa? Kata nak galakkan rakyat melancong dalam negara, tapi macam-macam karenah pula yang perlu dihadapi rakyat. Macam mana tu?

“Tidak payalahlah letakkan cukai yang sudah tentu akan ditetakan harganya yang RM2.50 sehingga RM20 itu berdasarkan hotel itu berapa bintang, betul tak?,” katanya kepada Berita Daily.

Ahli Parlimen sebulat suara meluluskan cadangan pelaksanaan cukai itu pada sidang Parlimen April lalu.

Pelaksanaannya bakal menyaksikan pelancong dikenakan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam, dan dianggarkan kutipannya mampu mencecah RM654.62 juta.

Sementara itu Zainudin Sharif, 63 berpendapat, situasi ekonomi yang menekan bukan tempoh yang terbaik untuk menambah satu lagi bentuk cukai yang perlu dihadapi oleh rakyat.

Zainudin

Tambahnya, peningakatan harga barang oleh kerana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), ketidaktentuan harga minyak sudah cukup ‘membengangkan’ rakyat, ini kan pula mahu meningkatkan harga bilik hotel.

“Maksudnya nanti harga penginapan hotel akan meningkat lagilah kan, dengan keadaan sekarang ini pun macam-macam lagi cukai nak hadap, harga barang ni sekarang ni apatah lagi pula nak letak cukai seperti itu

“Tidak perlu. Sangat tidak perlu. Kena ingat pelancong dalam negara kita pun ramai juga. Imej negara kita dari mata orang sendiri pun perlu diambil kira,” kata beliau.

Sebagai seorang pesara, Zainudin berkata dirinya sudah tentu mempunyai kehendak untuk bercuti di dalam Malaysia, namun perkembangan terbaru ini merupakan berita buruk bagi beliau.

“Kalau saya yang pesara ni pun nak juga bercuti sekali sekala kan. Kena ingat, bukan semua rakyat yang melancong dalam negara kerana mampu untuk bayar cukai sana sini. Mampu untuk bercuti itu sepertinya satu cara untuk bergembira dengan keluarga,” ujarnya.

Ridzuan Abdullah, 43 dalam pada itu merayu kepada kerajaan agar tidak terus membebankan rakyat yang kini majoriti dari kalangan berpendapatan sederhana.

“Tidak nampak ke jumlah yang sikit ini, dengan penetapan cukai lain rakyat buang wang banyak kepada cukai. Janganlah bebankan rakyat dengan sana sini nak naik,” kata beliau.

Untuk rekod, cukai yang bakal diperkenalkan itu turut tidak disenangi oleh kepimpinan negeri Sarawak yang disuarakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Budaya, Belia dan Sukan Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berpendirian cukai pelancongan baru itu ialah contoh terbaru dasar ‘paksaan’ kerajaan Persekutuan, malah beliau turut mempersoalkan sama ada Sarawak akan merasai hasil kutipannya atau sebaliknya.

Tiada ulasan: