Amanah berkata modul terkini BTN juga menghentam
pemimpin PPBM seperti mana pernah dilakukan terhadap pemimpin
pembangkang sebelum ini.
PETALING JAYA: Amanah hari ini membidas Biro Tata Negara (BTN) sebagai bersifat perkauman, sambil menyifatkan program kursus tata negara untuk kakitangan kerajaan dan pelajar itu sebagai memfokuskan agenda memburukkan pemimpin pembangkang.
“Menerusi modul BTN ini 70%, mereka menyemai benih kebencian perkauman dan agama dan hanya 30% benar-benar melibatkan tatanegara,” kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub di ibu pejabat Amanah hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada “sumber yang dekat dengan BTN”, ia turut memuatkan modul yang mendakwa kononnya institusi Melayu diancam oleh kaum lain.
“Isu 13 Mei juga tidak terlepas daripada sebahagian daripada modul BTN,” katanya yang menggesa program itu dirombak.
“Kita susah hampir 60 tahun merdeka tetapi kenapa isu perkauman dan agama masih lagi dipermainkan?” soalnya.
“BTN mesti hentikan menggunakan modul dalam menyemai bibik kebencian dalam negara kita khususnya menjelasng PRU.”
Salahuddin memberi amaran pendekatan perkauman oleh BTN itu boleh menjurus kepada ancaman keganasan serta mencetuskan perasaan kebencian kepada kaum minoriti negara ini.
“Modul yang dibawa BTN secara jelas mengajar, mendidik dan memupuk kebencian yang keterlaluan sama ada satu puak, kaum atau kelompok atas nama perkauman dan agama.
“Ia sangat berbahaya,” katanya, sambil menambah BTN “ada saham dalam menyemai benih keganasan dan kebencian”.
Salahuddin berkata BTN kini menjadikan beberapa tokoh politik yang tidak lagi sehaluan dengan kerajaan sebagai sasaran, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahatahir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-duanya pemimpin PPBM.
Bekas naib presiden PAS itu berkata usaha memburukkan pemimpin pembangkang bukan sesuatu yang baharu, dan pernah dilakukan terhadap Lim Kit Siang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kit Siang dikatakan dekat dengan parti PAP di Singapura. Dulu masa saya dalam PAS mereka sebut Abdul Hadi, Nik Aziz bawa ajaran sesat, pecah belahkan masyarakat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan