Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Kini
giliran Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mencatur gerak untuk memuktamadkan
isu siapa yang lebih layak ditonjolkan oleh Pakatan Harapan (PH)
sebagai calon Perdana Menteri Malaysia sekiranya ia menang pilihanraya
umum ke-14 kelak.
Beliau nampaknya dengan sedar membuat kejutan dengan mengumumkan tidak
lagi menawarkan dirinya untuk menjadi calon jawatan nombor satu itu.
Hujahnya demi mengelakkan PH hanyut dek dua "isu pinggiran (seperti)
.... (pertama) muslihat perebutan kuasa dan (kedua) kedudukan atau
keterlanjuran kata kurang sopan dalam Pakatan Harapan" yang menurutnya
tidak harus diizinkan.
"Terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada
PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon Perdana
Menteri," kata Ketua Umum PKR itu. Merajuk? Tidak mungkin!
Maka taktik pertamanya ialah menyatakan bersetuju Tun Dr Mahathir Mohamad harus diberikan peranan sewajarnya di dalam PH.
Namun kenyataan itu ada had lakunya. Dalam nafas yang sama Anwar dengan
tegas menolak usul parti Mahathir, PPBM menguasai jawatan pengerusi dan
presiden di dalam pakatan pembangkang itu.
"Adapun usul Bersatu (PPBM) untuk merombak struktur Pakatan Harapan
dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan Pengerusi dan
Presiden dalam struktur baru PH, dikhuatiri akan merombak kerangka PH
menjadikannya mirip BN.
"(Justeru) kesediaan semua pihak dalam PH untuk meneliti semula dan
meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal Pakatan
Harapan adalah dialukan," katanya.
Beliau menegaskan keperluan mengekalkan tradisi musyawwarah dan
konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya di mana
semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan Pengerusi hanya
sebagai penyelaras.
Anwar berharap semua pemimpin komponen PH memberikan tumpuan sepenuh
kepada persiapan menghadapi PRU 14 dan tidak lagi terjebak dalam polemik
siapa harus ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri.
Polemik itu mencetuskan perbalahan di kalangan pemimpin-pemimpin PKR,
PPBM dan DAP dan mendedahkan kerapuhan pakatan pembangkang itu sendiri.
"Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan
rakyat dalam PRU. Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita
tertumpu pada pengukuhan jentera dan menarik dokongan rakyat," kata
Anwar.
Anwar beri isyarat kepada penyokong
Anwar memang yakin pada kedaulatan, iltizam dan sokongan rakyat. Hanya
itu azimatnya bangkit menentang ‘kezaliman’ Mahathir sejak mereka
“berpatah arang berkerat rotan” sejak 1998 lalu.
Bagi yang mengenali Anwar dan caragaya politik Mahathir pula pasti
meneliti kenyataan Anwar ini sebagai permulaan pusingan baru dalam isu.
Tidak berlebihan jika ada yang membaca sebenarnya Anwar bukanlah
menarik diri tetapi melemparkan isyarat supaya penyokongnya dalam isu
ini bangkit menggerakkan langkah lebih teguh, kukuh dan teratur untuk
mencapai hasrat asalnya.
Dalam pusingan sebelum ini Dr Mahathir benar-benar memerangkap
penyokong Anwar yang “agak leka dan agak bercempera dalam isu ini”.
Tanpa diundang oleh mana-mana pihak Mahathir sendiri yang “menawarkan”
dirinya untuk menjadi calon perdana menteri “jika ada permintaan
daripada kawan-kawan” dalam PH.
Mahathir pasti beliau ada penyokong. Maka bersuaralah ahli DAP, Datuk
Zaid Ibrahim, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa dan beberapa lain
yang memang “ada sejarah kurang enak” dengan Anwar menyokong usul yang
dilontarkan sendiri oleh Mahathir itu.
Penyokong Anwar pada mulanya mahu “menguja dan mengingatkan” PH bahawa
kali terakhir mereka membincangkan isu bakal perdana menteri, calon
bersama mereka ialah Anwar.
Maka pada hujung kongres PKR lalu, mereka cuba “memerangkap” Mahathir
supaya mematikan sebarang angan untuk ‘tidak mahu’ Anwar jadi calon
Perdana Menteri dengan menjunjung poster “Anwar PM ke-7”.
Jurus tangkis Mahathir terhadap cabaran ini ialah menggunakan media
sosial untuk melancarkan “hasrat dan kesediaannya” menjadi Perdana
Menteri sekali lagi.
Pengumuman Anwar ini wajarlah dibaca oleh penyokongnya sebagai peringatan bahawa: “adakah kalian sudah melupai saya?”
Spontan persoalan ghaib yang menyusul ialah” “kita dalam keadaan begini
kerana orang ini (Mahathir). Jika kalian mahu bertuankannya sekali
lagi, inilah masanya. Saya tarik diri”
Pengumuman Anwar semboyan perang
Anwar insaf penyokongnya leka. Beliau maklum kepemimpinan parti
terasnya, PKR, kini lemah. Soal ketrampilan presiden yang ‘tidak
seberapa’ dan hasrat besar timbalannya mahu menjadi kepala, bukan
rahsia.
Pengumuman tarik diri Anwar ini ialah semboyan dan gendang perang.
Kepada kepimpinan PKR dan penyokong lain Anwar ingin bertanya:
“Apakah kalian masih setia, bertenaga dan ada roh perjuangan? Langkah
mutakhir Mahathir mempamerkan kelicikan politiknya. Bersediakah kalian
menghadapinya?”
Anwar fokus: “Jika kalian tidak mahu saya larut dari ingatan,
bersatulah.” Anwar sedar bahawa ada di kalangan panglima-panglima
perangnya sudah mula “berjinak” dengan Mahathir atau Muhyiddin dan ada
dikhabarkan dengan pemimpin Umno.
Anwar juga melengkapkan mesejnya dengan soal adab. Elak caci maki dan
kata kurang sopan. Perjuangan kali ini suci dan tidak harus dicemari
kebiadaban apatah lagi sasaran kali ini ialah untuk memujuk sokongan
rakan -- PKR, Amanah dan DAP.
Jika Anwar tiada dalam senarai bakal Perdana Menteri, adakah ini
bermakna beliau mahu Mahathir calon mutlak? Jika demikian apakah misi
perjuangan PKR untuk melakukan reformasi pengurusan negara sudah tamat?
Ketika memberi reaksi pada kesediaan Mahathir menyertai perjuangan PH,
Anwar pernah menyatakan keraguannya sama ada matlamat Mahathir mahu
mengisi cita-cita peribadi atau benar-benar mahu melakukan reformasi.
Benarkah Mahathir benar-benar mahu melakukan reformasi pelbagai
perundangan, pentadbiran dan amalan yang sudah diterapkannya sendiri
sejak lebih 22 tahun?
Jika beliau masih berkuasa, apakah kezaliman seperti Akta Keselamatan
Dalam Negeri sudah dibakulsampahkan atau terus menjadi peranti
mengekalkan kuasanya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan