Oleh Ahmad Farhain Mazlan
KUALA LUMPUR: Bekas pengasas PKR Ng Lum Yong yakin majoriti ahli parti
itu kecewa jika Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak
menduduki jawatan perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
Beliau berkata demikian merujuk polemik isu pencalonan jawatan perdana
menteri di kalangan Pakatan Harapan membabitkan Anwar dan Tun Dr
Mahathir Mohamad.
"Saya anggap, ramai ahli PKR akan kecewa dengan keputusan ini sebab
dari mula semua anggap Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri yang
akan datang, bukannya orang lain, tetapi tiba-tiba nama Tun Mahathir
disebut,"katanya kepada Antarapos.
Bagaimanapun selepas beberapa ketika isu itu hangat diperkatakan, Anwar
semalam membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak akan
menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan
(PH) menang pada PRU14.
Anwar melalui kenyataan yang dikeluarkan menerusi PKR berkata, PH harus
memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke
arah kemenangan PRU14.
Bekas ketua pembangkang itu turut menyuararakan kekhuatiran terhadap
usul Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengusulkan struktur PH
dirombak dengan pimpinan mereka diletakkan di jawatan pengerusi dan
presiden pakatan.
Anwar berkata beliau khuatir rombakan itu akan merombak kerangka pakatan menjadikannya mirip Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Ng menambah, apa yang berlaku dalam gabungan itu kini
adalah sesuatu yang 'tidak bermoral dan berprinsip' kerana lebih
cenderung kepada agenda untuk berkuasa.
"Saya sebagai mantan pengasas parti sangat sedih dengan suasana politik
yang tidak bermoral dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan untuk
berkuasa, tidak ada rancangan yang khusus dan panjang untuk rakyat,"
tambahnya lagi.
Beliau malah menyifatkan, parti yang diterajui Dr Mahathir itu adalah
parti baru dan sekiranya Dr Mahathir diangkat sebagai perdana menteri,
ia diyakini tidak mampu menggalas mandat rakyat ekoran matlamat utamanya
yang hanya mahu jatuhkan BN.
"Hingga hari ini Parti Bunga Raya ini tidak mengeluarkan satu manifesto
sekiranya dia berjaya memerintah dan (jika salah) seorang ahlinya
menjadi perdana menteri serta 'blue print' mereka kita langsung tidak
tahu.
"Oleh itu bagaimana rakyat nak mengharapkan parti ini yang ditubuhkan dalam masa satu tahun sahaja,"ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan