Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat
Pakatan Harapan (PH) mengambil kira keberadaan Ketua Umum PKR itu di
dalam penjara.
Itu penjelasan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan menambah ia merupakan persetujuan
dari kesemua pihak di dalam PH.
Malah kata mantan Menteri Besar Kedah itu, cadangan nama dilakukan oleh parti-parti komponen gabungan tersebut.
Kenyataan Mukhriz itu dilihat mengesahkan lagi ura-ura yang sedang
bertebaran pada waktu ini bahawa Anwar dilantik sebagai penasihat
gagasan pembangkang itu.
"Semua pihak bersetuju untuk mencadangkan Anwar sebagai penasihat.
"Jika beliau tidak berada di dalam penjara pada ketika ini, tentunya beliau yang mengepalai PH.
"Namun atas keadaannya itu kita merasakan yang paling sesuai dari segi
teknikal dan pragmatiknya adalah jawatan Penasihat, kerana kita pun tahu
beliau boleh mengeluarkan nota dari penjara mengenai nasihatnya atas
perkara tertentu berkaitan PH," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari
ini.
Mukhriz mengulas khabar angin mengenai persetujuan PH untuk melantik
Anwar sebagai penasihat, selepas namanya dicadangkan dalam Mesyuarat
Majlis Presiden PH yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan bahawa Pengerusi PPBM, Tun
Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
masing-masing dilantik sebagai Pengerusi dan Presiden PH, dengan hanya
berkata 'ia masih di dalam perbincangan'.
Mukhriz kemudiannya memberi jaminan bahawa jawatan yang disandang Anwar
itu juga penting dan tidak akan tenggelam dengan nama-nama lain yang
akan dilantik ke jawatan tertentu di dalam gagasan pembangkang itu.
"Kita beri jaminan dalam hal itu. Kita bercakap mengenai peranannya ketika beliau masih menjalani hukuman.
"Insya-Allah apabila beliau terlepas dari hukuman itu lain pula
peranannya, lagi menyerlah peranan yang boleh dimainkan PH. Ditambah
lagi jika kita menjadi kerajaan. Perkara itu banyak kali dibincangkan
dan di pihak PPBM pun kita beri jaminan dalam hal itu," katanya lagi.
PH dijangka akan mengumumkan struktur organisasinya yang baru pada
minggu hadapan, dan akan dihantar ke Jabatan Pertubuhan Pendaftaran
(RoS) dalam masa terdekat.
Beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini menafikan penyebaran senarai
kepimpinan PH yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri
Muhyiddin Yassin masing-masing sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi,
manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar menyandang
jawatan sebagai penasihat kepada dua tokoh tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan