Selasa, 18 April 2017

Zakir Naik sah ada PR Malaysia

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Memang Dr Zakir Naik memiliki taraf pemastautin tetap (PR) di Malaysia, kata Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
 
Menurut Menteri Dalam Negeri itu, pendakwa terkenal dari India berkenaan menerima status PR itu sejak kira-kira lima tahun lalu.
 
"Saya ingin mengesahkan beliau (Zakir) memiliki status PR di Malaysia, tetapi dia bukan warganegara Malaysia," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.
 
Kata Ahmad Zahid, Zakir - yang dikehendaki pihak berkuasa India atas beberapa tuduhan jenayah - diberikan taraf PR itu lebih lima tahun lalu,
 
"Ertinya, (PR berkenaan diberi) sebelum saya jadi Menteri Dalam Negeri," katanya.
 
Beliau yang juga timbalan perdana menteri ditemui media selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa 'Human Ecology' hari ini.
 
Ahmad Zahid ditanya mengenai status Zakir selepas tokoh terbabit mendakwa, beliau sedia dibicarakan atas tuduhan pihak berkuasa India jika ia dijalankan di lokasi berkecuali.
 
Zakir yang dikaitkan dengan aktiviti "keganasan" dan pengubahan wang haram juga memberitahu, pihak berkuasa India boleh menyoal siasatnya melalui kemudahan Internet seperti aplikasi Skype.
 
Terserah kepada India
 
Namun, katanya, Agensi Penyiasatan India (NIA) enggan dan bertegas mahukan dia pulang ke negara terbabit.
 
"Kenapa saya perlu lakukan perkara itu (pulang ke India)? Jika saya pulang, mereka akan seksa saya.
 
"Mereka dah lakukan perkara sama kepada orang Islam yang lain. Saya ada bukti," katanya dilaporkan Malaysiakini pada 16 April lalu.
 
Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak boleh menyiasat Zakir namun negara lain yang mempunyai hubungan dan perjanjian dengan kerajaan negara ini boleh menggunakan kaedah memohon bantuan perundangan bersama (MLA).
 
Ditanya sama ada Putrajaya sedia menyerahkan Zakir kepada pihak berkuasa India, Ahmad Zahid memberitahu, ia bukan isu "serah menyerah" sebaliknya berkaitan siasatan.
 
"Kita ikut sistem perundangan yang ada di negara ini serta kerangka hubungan diplomatik dengan negara luas.
 
"Jika ada permohonan MLA, kerajaan akan menterjemahkan tindakannya dengan memberi kerjasama penuh," katanya.
 
Ditanya sama ada kerajaan akan mengekstradisi Zakir, Ahmad Zahid berkata, pendakwa itu tidak menetap terus di negara ini.
 
"Beliau hanya bertaraf PR dan turut tinggal di negara lain.
 
"Terserah kepada India untuk membuat permohonan ekstradisi - bukan kepada Malaysia, tetapi negara lain juga," katanya.
 
 

Tiada ulasan: