ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Dalam memastikan Kementerian Pertahanan (Mindef) bebas
rasuah, menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
beliau tidak akan berkompromi malah bersedia dirinya disiasat sekiranya
terdapat bukti penglibatan beliau dalam rasuah di kementerian itu.
Beliau berkata laporan boleh dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada bukti penglibatannya dalam rasuah.
"Kalau ada bukti-bukti berhubung kait saya dengan rasuah, laporkan kepada SPRM.
"Saya sendiri sanggup berdepan apa sahaja kalau ada bukti ... kerana
kedudukan saya ini bukan kerana Datuk Seri Hishammuddin tetapi sebagai
Menteri Pertahanan untuk menjaga pertahanan dan keselamatan negara ini,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bacaan ikrar bebas
rasuah sempena perhimpunan bulanan Mindef di Dewan Perkasa, Wisma
Perwira di sini, Isnin.
Dalam pada itu, Hishammuddin menyifatkan warga Mindef yang terbabit
dengan rasuah sebagai penderhaka serta pengkhianat kepada bangsa dan
negara.
"Hal ini bukan sahaja tidak bermoral malah menjatuhkan maruah dan
integriti warga Mindef serta boleh memberi kesan kepada kesalamatan
negara.
"Bab ini (rasuah) saya tidak akan berkompromi dan saya berharap bahawa
kita sedar kedudukan dalam Mindef, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan
syarikat industri pertahanan yang dapat kontrak besar (daripada Mindef)
supaya berintergriti tinggi.
Dalam perkembangan lain, semasa diminta mengulas kenyataan Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Umno
bersedia menerima semula bekas anggota yang meninggalkan parti,
Hishammuddin yang juga Naib Presiden parti berkata keputusan berkenaan
perlulah dibuat di peringkat tertinggi Umno.
"Kita boleh terima sesiapa sahaja tetapi keputusan dibuat di peringkat
Majlis Tertinggi Umno. Sebab itu kita perlu gunakan saluran tertentu
untuk mendapatkan maklum balas sama ada mereka diterima atau tidak.
"Kerana parti, kita lihat secara kolektif. Apa jua keputusan mesti
merupakan keputusan kolektif kerana kebertanggungjawaban kolektif juga
perkara penting dalam kekuatan Umno dan Barisan Nasional," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan