Rabu, 19 April 2017

ROS dakwa dokumen Parti Ezam meragukan

MALAYSIAKINI


Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendakwa permohonan Parti Generasi Baru untuk menukar nama kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) sedang disiasat berikutan terdapat beberapa dokumen permohonan itu yang menimbulkan keraguan.

Portal Berita Harian Online memetik Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, sebagai berkata, maklumat dua daripada 12 ahli jawatankuasa (AJK) yang dinyatakan dalam EGM berkenaan tidak benar berdasarkan nombor kad pengenalan mereka.

"Dari segi keahlian AJK, kita dapati terdapat keraguan dan kemudian kita menghantar surat berdaftar kepada ibu pejabat parti berdasarkan alamatnya tetapi surat itu tidak sampai dan dipulangkan semula.

"Justeru, kita minta pasukan penguat kuasa ROS memeriksa premis berkenaan di Jalan Ipoh dan mendapati, premis berkenaan bukanlah ibu pejabat parti itu. Jika pejabat tidak ada, di mana mereka melakukan EGM itu?" katanya yang dipetik oleh portal itu.

Semalam, Setiausaha Agung Parti Generasi Baru S Gobi Krishnan menegaskan Datuk Ezam Mohd Noor sebagai pengerusi parti itu dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sebagai timbalannya, berdasarkan rekod ROS.

Gobi Krishnan berkata, Ezam dipilih secara rasmi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pada 11 Mac lalu dan kemudian disahkan dalam mesyuarat agung khas pada 30 Mac.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertikaian berkaitan status kepimpinan baru parti itu apabila ‘presiden’ asal parti itu, Datuk G Kumar Aaman mendakwa Ezam telah merampas parti itu.

Ezam kemudian menukar nama parti itu kepada Parti Bebas Rasuah dan masih menunggu kelulusan ROS.
Bagaimanapun, G Kumar mendakwa, perkara itu berlaku tanpa pengetahuannya kerana tiada sebarang mesyuarat atau notis dibuat, selain tidak mendapat persetujuan lebih 300 ahli.

Mengulas lanjut, Mohammad Razin berkata, ROS akan memanggil saksi berkaitan termasuk AJK yang menghadiri EGM itu untuk memberi keterangan dan jika didapati, parti itu memberi maklumat palsu, mereka akan berdepan tindakan termasuk pembatalan parti.

Katanya, selagi permohonan untuk menukar nama parti itu tidak diluluskan ROS, nama PBR dan logonya tidak boleh digunakan.


Tiada ulasan: