Selasa, 11 April 2017

Guru silat terlibat Daesh dihukum penjara lima tahun, enam sebatan

ISMA WEB
 



KOTA BHARU – Seorang guru silat yang terlibat dengan kumpulan militan Daesh dihukum penjara lima tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana memiliki sebutir bom tangan asap serta dua butir peluru.

Hakim Nazri Ismail mengenakan hukuman itu selepas Mohammad Sabri Mat Zain, 46, mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebutir bom tangan asap warna kuning di rumahnya di Teluk Kandis Salor, antara jam 7.55 pagi dan 1.20 tengah hari, pada 21 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali.

Manakala tuduhan kedua dia didakwa memiliki dua butir peluru jenis .38 Special G.F.L dan R.P tanpa lesen atau permit senjata di tempat dan masa yang sama.

Bagi tuduhan itu, Mohammad Sabri didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan bagi tuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, dia dikenakan hukuman penjara dua tahun.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak berkuatkuasa tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Mac lalu.


Tiada ulasan: