Khamis, 16 Februari 2017

Valet Doa ingkar arahan mufti, tekad terus khidmat kirim doa

Pengasas Valet Doa berkata tiada nas mengharamkan perkhidmatan itu dan terbukti apabila mufti sendiri tidak mengeluarkan sebarang hukum mengenainya.


nasrin


PETALING JAYA: Syarikat menawarkan perkhidmatan “doa makbul”, Valet Doa bertegas akan tetap meneruskan operasinya sekali gus mengingkari arahan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad.

Pengasas Valet Doa, Mohd Nasrin Harin berkata tidak ada satu nas yang mengharamkannya menjalankan perkhidmatan itu dan terbukti apabila mufti sendiri tidak mengeluarkan sebarang hukum berkenaan perkara itu.

“Memang mufti ada pendapat, tetapi satu perkara yang jelas, tidak ada nas yang mengharamkan. Sebab itu beliau kata tidak haram, cuma boleh menimbulkan fitnah ke atas agama.

“Pendapatnya saya tidak tolak, tetapi kami juga ada dalil kami sendiri. Apa yang kami buat, ada kesan positifnya. Cuma sekarang ini saya harap ia dapat dijalankan agar dapat dijadikan contoh,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Zulkifli mengarahkan agar perkhidmatan mengirim doa yang dijalankan Valet Doa itu dibatalkan. Menurutnya, perniagaan itu tidak menepati Islam sebenar dan tidak mengikut syariat.

Menurut beliau lagi, tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan sahabat nabi yang pernah berbuat demikian.

Malah, pakej ditawarkan juga dilihat tidak berakhlak dan mengelirukan apatah lagi ia jelas menunjukkan sifat komersil dan memanipulasi doa.

Bagaimanapun, Nasrin berkata beliau mempunyai “bukti kukuh” yang perbuatan mengirimkan doa pernah dilakukan sewaktu zaman Nabi Muhammad.

“Bukan nabi tidak pernah buat, beliau pernah mengirim kepada Ali untuk berdoa di Kaabah. Memang nabi tidak pernah bagi duit, nabi tidak bagi duit sebab mereka hidup di sana.

“Tetapi kita di Malaysia, hendak ke Mekah jauh, kita naik kapal terbang. Kalau tidak caj pakej, siapa hendak bayar saya? Sedangkan saya hendak masuk ke Arab Saudi kena bayar 5,000 riyal,” katanya.

Jelas Nasrin lagi, sejak perniagaan Valet Doa dilancarkan 3 hari lalu, tidak dinafikan sambutan diterima sangat menggalakkan walaupun terdapat kecaman daripada individu tertentu.

“Sambutan bagus. Memang di Facebook ada yang tidak suka tetapi yang masuk di WhatsApp saya, yang buat bayaran memang ada masuk. Jadi, kita nampak ada yang suka dan ada tidak suka,” katanya.

Valet Doa di Facebook memaparkan kadar upah berbeza mengikut lokasi, termasuk berdoa di Multazam (pintu Kaabah) dengan bayaran RM2,500.

Ia turut memberi jaminan wang akan dikembalikan jika doa pelanggan masih belum termakbul.

Di Facebook itu turut dinyatakan pihak Valet Doa akan ke Mekah pada 16 Mac 2017, bergantung pada visa dan pelanggan boleh membuat tempahan bermula sekarang.

Nasrin menjelaskan, sewaktu di tanah suci beliau tidak melakukan sebarang ibadah haji atau umrah sebaliknya hanya memfokuskan kepada doa dikirimkan para pelanggannya.

Sambil menyakinkan agar para pelanggannya 100% yakin dengan perkhidmatannya untuk menyampaikan doa yang dikrim.

“Bila kita berdoa di situ (Tanah Suci), kita percaya pada Nabi Muhammad yang beliau tidak pernah tipu. Jadi, itu yang kita berdoa di situ. Kalau saya kata berdoa di tanah suci tidak makbul, maknanya saya tidak percaya pada Nabi Muhammad.

“Antara syarat doa untuk makbul adalah agar kita yakin dengan doa kita. Tanyalah ulama mana pun, kalau doa yang tidak yakin, memang tidak makbul. Sebab itu adab berdoa adalah untuk bersangka baik,” katanya.

Nasrin mengakui beliau tidak mendapat pendidikan agama formal di peringkat tinggi sebaliknya hanya di sekolah.

“Tetapi bila berumur 40 tahun ini, saya hendak pergi semula ke arah keagamaan. Saya hendak tukar profesion, tukar kerjaya. Saya ada minta di Kaabah, agar Allah berikan petunjuk.

“Saya dapat petunjuk untuk jalankan bisnes ini. Walaupun ada cabaran dan ini dikira cabaran, saya cuba untuk buat setakat yang saya mampu. Niat saya untuk bantu orang,” katanya yang menyatakan sudah menunaikan umrah sebanyak 4 kali.

Nasrin menjelaskan, beliau akan memberikan pelanggannya swafoto atau bukti berbentuk video bersama sehelai kertas senarai doa yang diterimanya.

Tiada ulasan: