Rabu, 8 Februari 2017

Pemimpin HARAPAN setuju dengan Rafizi, tapi...

MALAYSIAKINI


Semasa sesi perbincangan meja bulat 'Selamatkan Malaysia' semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berhujah mengenai sebab-musabab mengapa pembangkang tidak mempunyai kredibiliti.

Para pemimpin pembangkang, dakwa beliau, telah 'semakin jauh dengan rakyat sehingga berada di tahap seolah-olah berdarjat lebih tinggi.'

Sebahagian besar daripada naratif pembangkang, katanya, tidak relevan dan kadang-kadang tersasar sebagai pimpinan pembangkang kerana menganggap rakyat tidak faham mengenai isu-isu tertentu.

Ia mungkin pemerhatian peribadi ahli Parlimen Pandan itu, tetapi rakan-rakan politik dari gabungan parti lain nampaknya bersetuju dengan ini, walaupun mengikut tahap tertentu.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersetuju pembangkang tidak membantu dalam menjana keyakinan di kalangan pengundi dan membuat andaian cepat sentimen pengundi melalui segmentasi.

"Rasa rendah diri yang sedikit daripada semua pimpinan, yang mungkin lebih baik dalam menguruskan krisis ekonomi berbanding kumpulan berpendapatan rendah, telah melangkaui," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk menjadi wakil yang berkesan, Nurul Izzah berkata, adalah penting bagi pemimpin pembangkang untuk menjadi sensitif kepada isu-isu rakyat dan menjiwai mereka.

"Rakyat yang memutuskan agenda, terutama dalam pembaharuan sistem. Dan rakyat menuntut keikhlasan," tambahnya.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut selari dengan rakan partinya itu mengenai kepentingan menunjukkan rasa rendah diri di kalangan pemimpin pembangkang.
 
"Saya bersetuju terdapat keperluan untuk merendah diri dan sebagai refleksi di pihak kami. Ia sentiasa penting."

Sementara itu, ADUN DAP Howard Lee menyimpulkan pembentangan Rafizi itu menyediakan gambaran dari sudut yang agak luas mengenai kontemporari Malaysia.

"Saya rasa bahawa pemerhatian oleh Rafizi menyediakan gambaran menarik mengenai masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.

"Tetapi saya tidak bersetuju ia adalah gambaran keseluruhan politik Malaysia kerana medan politik Malaysia tidak monolitik," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia memberi sumbangan bernilai untuk introspeksi kepada pembangkang dalam menjadi lebih tertumpu dalam soal isu, kedudukan dan strategi pilihan raya.

Tiada ulasan: