shahbudindotcom
Di
dalam dunia ini rasanya tidak ada parti lain yang begitu mengada-ngada
selain daripada Pas. Hanya kerana menggunakan nama Islam, Pas selalu
beranggapan mereka sentiasa benar dan orang lain harus tunduk kepada
mereka.
Atas
nama Islam, mereka boleh berjuang untuk menentang kemungkaran, tetapi
dengan nama Islam juga Pas tidak kisah bersekongkol dengan pemimpin
mungkar, malah menawarkan diri ingin menjadi penasihat kepada orang
jahat.
Atas
nama Islam, Pas menjaja hudud sejak sekian lama, tetapi kemudian
menukarnya keada negara kebajikan sambil mengatakan elemem hudud turut
terkandung di dalamnya.
Kemudian
menggugurkan negara kebajikan dan kembali kepada hudud semula. Akhirnya
hudud entah ke mana, tetapi seolah-olah sudah cukup bersyurga dengan
Akta 355 saja.
Yang
menggelikan hati, Pas kini cukup berbangga dapat bekerjasama dengan
UMNO yang dulunya mereka kafirkan, assabiyahkan, sembelihannya dikatakan
haram dimakan, imam sembahyang tidak boleh dimakmumkan dan yang sudah
kahwin pula ada yang berantakan.
Episod
mengada-ngada Pas ini berterusan lagi apabila dalam masa mereka
berbaik-baik dengan UMNO, ia juga terbuka untuk berunding dan
bekerjasama dengan Bersatu.
Di sebalik mengatakan menolak keras DAP, Pas masih juga duduk dalam mesyuarat Exco Selangor yang jelas ada DAP di dalamnya.
Maka benarlah makan keliling namanya.
Rundingan
dengan Bersatu dengan Pas sepatutnya sudah berakhir pertengahan Januari
lalu, tetapi dilanjutkan lagi kepada 1 Februari. Walaupun selepas
rundingan pada tarikh tetsebut, ada dikeluarkan kenyataan bersama oleh
Mukhriz Mahathir dan Tuan Ibrahim Tuan Man, ia kemudian dikatakan hanya
jumpa-jumpa, sembang-sembang dan makan-makan saja.
Maklumlah jumpa pun di Bangsar, tempat lepak-lepak dan santai-santai yang memang dikenali ramai.
Belum
pun hasil pertemuan itu kononnya mahu dihalusi sebelum ia
dimuktamadkan, mengada-ngada Pas muncul apabila Ketua Dewan Ulamanya,
Mahfodz Mohamed mensyaratkan bahawa tiada kerjasama dapat dijalinkan
antara kedua-dua parti selagi Bersatu tidak memutuskan hubungannya
dengan DAP dan Amanah.
Sekali
lagi, mentang-mentang berjawatan Ketua Dewan Ulama, cakapnya
seolah-olah fatwa dan hukum belaka. Pengikut bawahan Pas yang tidak
tinggi ilmu agama tentu dengan sendirinya akan menerima kata-kata itu
sedangkan DAP di Pulau Pinang tidaklah meminggirkan Islam dan permusuhan
Pas dengan Amanah pula tidak sama-sekali berkaitan dengan agama,
sebaliknya hanya kerana politik dan kuasa.
Jika
benar Pas ikhlas ingin bekerjasama dengan Bersatu, kenapa diletakkan
syarat mesti tinggalkan DAP dan Amanah sebelum rundingan dimuktamadkan?
Bukankah
lebih baik cakap terus-terang tidak mahu bekerjasama, bahkan tidak
perlu pun membuang masa mengadakan pertemuan dengan Bersatu?
Apakah watak tidak konsisten dan berbolak-balik itu ciri-ciri "king maker"?
Hari
ini, Naib Presiden Pas, Mohd Amar Abdullah meneruskan sikap
mengada-mengada Pas dengan meminta Bersatu dan PKR meninggalkan Pakatan
Harapan untuk menyertai blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang setakat ini
dianggotainya bersama dengan Ikatan.
Kata
beliau, jika Bersatu dan PKR sedia berbuat demikian, kekuatan
pembangkang akan meningkat berkali ganda serta memberi lebih harapan
untuk menumbangkan UMNO dan BN.
Entah
dari sudut mana beliau membaca sifir politik kali ini. Sesuatu yang
tidak logik sebenarnya, PKR dan Bersatu kini berada dalam liga satu
iaitu Pakatan Harapan, tiba-tiba diminta keluar untuk menyertai liga dua
yang lebih kecil, Gagasan Sejahtera.
Siapa pula jadi ketua Gagasan Sejahtera nanti jika PKR dan Bersatu sedia menyertainya?
Bacaan
paling mudah untuk menumbangkan UMNO dan BN ialah dengan Pas sedia
bergabung bersama semua parti-parti pembangkang, sama ada Pakatan
Harapan atau membentuk gabungan baru yang diberi nama lain dan bukannya
mewujudkan dua kumpulan pembangkang.
Jika
mensyaratkan Bersatu meninggalkan DAP dan Amanah pun pasti menjadikan
kekuatan pembangkang bertambah lemah, meminta Bersatu dan PKR
meninggalkan Pakatan Harapan untuk menyertai Gagasan Sejahtera, ia
sebenarnya jauh lebih melemahkan pembangkang.
Katalah
idea Pas itu diterima, bermakna pembangkang akan ada dua kumpulan. Satu
yang dianggotai oleh Bersatu, PKR, Pas dan Ikatan, manakala satu lagi
akan dianggotai oleh DAP dan Amanah.
Dengan
wujudnya dua kumpulan pembangkang seperti itu, kedudukan pembangkang
lebih teruk berbanding adanya Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR,
DAP, Amanah dan Bersatu seperti sekarang ini serta ditambah dengan
Gagasan Sejahjera yang dianggotai Pas bersama Ikatan.
Rakyat akan bertambah keliru dan tidak yakin. Akhirnya, siapa yang mereka mahu pilih untuk menggantikan UMNO dan BN?
Setidak-tidaknya
Pakatan Harapan sekarang, walaupun tidak disertai oleh Pas, ia lebih
baik dan besar berbanding Gagasan Sejahtera. Jika pengundi yang menolak
UMNO dan BN mahu membuat pilihan, Pakatan Harapan akan lebih diutamakan.
Menerima
idea Mohd Amar seperti meminggirkan pengundi bukan Melayu. Ia mungkin
menyebabkan mereka kembali menyokong MCA, MIC dan Gerakan kerana
gabungan yang hanya dianggotai oleh DAP dan Amanah tidak mungkin dapat
membentuk kerajaan.
Jika
pun pengundi bukan Melayu terus menyokong DAP dan gabungan baru yang
diideakan oleh Mohd Amar itu pula mendapat kerusi melebihi UMNO, apakah
ketika itu Pas masih sedia untuk bekerjasama dengan DAP dan Amanah?
Tidakkah
disedari bahawa sekadar gabungan Pas, Bersatu, PKR dan Ikatan saja,
jika tanpa sokongan bukan Melayu, adalah mustahil untuk membentuk
kerajaan?
Akhirnya,
sama ada Pas kekal dengan Gagasan Sejahtera bersama Ikatan atau Bersatu
dan PKR menyertai mereka dan meninggalkan Pakatan Harapan, maksud
tersiratnya ialah Pas ingin memberi kelebihan dan keselesaan kepada
Najib, UMNO dan BN terus berkuasa serta berkleptokrasi di negara ini.
Pilihan yang lebih baik untuk menumbangkan UMNO dan BN hanyalah dengan bersatu tanpa banyak karenah dan sikap mengada-ngada.
Sebab
itu, kepada Bersatu...lupakanlah Pas ini dan tumpukan kekuatan bersama
Pakatan Harapan saja. Lagi diberi muka dan ruang masa, lagi mereka
mengada-ngada. Jika terus diberi muka, percayalah, Pas akan terus
mengada-ngada sehingga tibanya tarikh pilihanraya.
Tun
Mahathir Mohamad sudah memberi panduannya - parti yang tidak mahu
bergabung untuk mengalahkan Najib, UMNO dan BN, bermakna ia sedang
bekerjasama dengan Najib, UMNO dan BN.
Kenapa susah sangat memahaminya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan