Khamis, 16 Februari 2017

Hapus Jasa, RM22 juta wang rakyat dapat diselamatkan setahun


rafizi

Oleh Rafizi Ramli

Saya rujuk kenyataan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim mengenai keperluan menyemak kembali jumlah kakitangan awam yang dilihat terlalu besar. Pandangan ini dibincangkan oleh pakar-pakar ekonomi dengan mengambil kira kos penggajian dan pencen menampung kakitangan awam yang dikhuatiri tidak lagi mampu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Sementara saya berkongsi kebimbangan mengenai kemampuan Kerajaan Persekutuan menanggung kos penggajian, pencen dan kebajikan kakitangan awam, saya juga percaya sebarang usaha untuk menyemak kembali kakitangan awam mestilah dibuat secara objektif dan berpandukan matlamat yang jelas.

Saya mengesyorkan ada dua matlamat paling utama yang perlu menunjangi sebarang inisiatif untuk menstrukturkan kembali perkhidmatan awam:

1. Membuang mana-mana jabatan, jawatan atau peruntukan yang tidak berkait dengan tugas sebenar perkhidmatan awam iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa ada pilih kasih.

2. Memastikan peruntukan dan perbelanjaan perkhidmatan awam yang telah distrukturkan itu (setelah membuang unsur yang tiada kaitan dengan perkhidmatan awam) adalah tepat dengan matlamat, berhemah, cekap dan memberi pulangan terbaik kepada rakyat.

Saya ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan dan pembangkang supaya berhati-hati dengan perangkap Umno/BN yang akan memutar belitkan isu ini seolah-olah Pakatan Harapan berniat untuk melemahkan perkhidmatan awam yang rata-ratanya dianggotai oleh penjawat awam berbangsa Melayu. Kita akan masuk perangkap itu jika kupasan mengenai isu ini tertumpu kepada soal jumlah jawatan (sering dirujuk bahawa perkhidmatan awam telah mencecah 1.6 juta orang) semata-mata dan tidak dikupas dari dua matlamat utama yang saya sebut seperti di atas.

Sebab itu, saya akan mula memberi tumpuan kepada cadangan-cadangan penstrukturan semula perkhidmatan awam dengan berpandukan dua matlamat di atas dengan membentangkan fakta dan angka-angka.

Bermula hari ini, saya ingin menyeru pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak menyemak kembali semua kementerian, jabatan dan penjawatan di dalam perkhidmatan awam supaya semua jabatan-jabatan dan penjawatan yang ditubuhkan khusus untuk berkempen politik bagi pihak Umno/BN dihapuskan serta merta. Jabatan-jabatan dan penjawatan yang ditubuhkan untuk berkempen politik bukanlah sebahagian dari perkhidmatan awam dan ia wajar ditanggung sendiri oleh Umno/BN; bukannya ditanggung oleh rakyat.

Maka, jabatan yang pertama yang perlu dihapuskan serta merta ialah Jabatan Hal Ehwal Khas ataupun JASA di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Saya lampirkan petikan dari dokumen Belanjawan 2017 (Maksud Bekalan 47 iaitu peruntukan yang diluluskan di dalam Belanjawan 2017 untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia) untuk menunjukkan jumlah wang rakyat yang dibazirkan untuk menampung kempen-kempen politik Umno/BN yang dijalankan oleh JASA.

Dari pecahan peruntukan di muka surat 563, JASA diperuntukkan sebanyak RM22,886,500 untuk dibelanjakan dalam tahun 2017 berbanding RM22,801,000 yang dianggarkan dibelanjakan dalam tahun 2016. Dari jumlah RM22,886,500 ini, RM5,712,900 adalah perbelanjaan penggajian dan RM17,173,600 adalah perbelanjaan perbekalan.

Jumlah kakitangan JASA pula kekal seramai 272 orang bagi tahun 2016 dan 2017.

Ini bermakna, JASA adalah beberapa jabatan yang istimewa kerana tidak mengalami potongan peruntukan berbanding dengan fungsi-fungsi perkhidmatan awam yang jauh lebih penting kepada rakyat seperti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. Bukan itu sahaja, JASA menunjukkan kenaikan peruntukan bagi penggajian iaitu kenaikan RM85,400 yang bermakna pada jumlah kakitangan yang sama bagi kedua-dua tahun, ada pegawai tertentu JASA yang dinaikkan lagi kos penggajiannya.

Kebelakangan ini, JASA dicemuh kerana menghantar maklumat propaganda yang mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam isu-isu kontroversi seperti yang berkait dengan 1MDB melalui sistem pesanan ringkas Whatsapp tanpa dilanggani oleh orang ramai. JASA juga menghantar pegawai-pegawai ke luar negara berjumpa dengan siswazah Malaysia di tempat-tempat seperti United Kingdom dan Australia sedangkan pegawai-pegawai ini makan gaji dengan rakyat, bukannya dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, ujian yang paling mudah untuk melihat sama ada Dato’ Seri Najib menghormati cadangan mantan-mantan pegawai tinggi perkhidmatan awam seperti Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim ialah dengan melihat sama ada beliau akan memansuhkan JASA yang akan menyelamatkan wang rakyat sebanyak RM22 juta setiap tahun.

Wang ini lebih sesuai dibelanjakan untuk menampung 4,400 pelajar cemerlang di universiti tempatan melalui pemberian biasiswa kecemerlangan; daripada dibelanjakan ke atas individu-individu yang kerjanya mengulangi propaganda Umno/BN walaupun makan gaji dengan rakyat.

* Rafizi merupakan Ahli Parlimen Pandan merangkap Naib Presiden KEADILAN

Tiada ulasan: