Sabtu, 18 Februari 2017

Buruh maut dibelit ular sawa

Buruh maut dibelit ular sawa
Suhaimi (tiga kiri) dan anggotanya memeriksa bangkai ular sawa betina yang membelit mangsa sehingga meninggal dunia.
 
KEMAMAN - Seorang buruh yang bekerja di ladang ternakan ayam maut selepas dibelit ular sawa batik seberat 100 kilogram dalam kejadian di Kampung Bukit Rambutan, Jabor kira-kira jam 9.15 malam tadi.

Mangsa yang juga warga Indonesia dan dikenali sebagai Sapar, 49, meninggal dunia di tempat kejadian setelah dibelit reptilia betina sepanjang lima meter itu selama kira-kira sejam.

Adik ipar mangsa, Mohd Arman Kromokaryo, 36, berkata, insiden itu berlaku ketika abang iparnya itu dalam perjalanan pulang dari rumah kawannya ke ladang ternakan ayam tempat abangnya itu bekerja.

"Masa sedang menunggang motosikal abang nampak seekor ular sawa sedang melintas jalan dan abang dibelit ketika cuba pegang ular itu.

"Saya tahu musibah menimpa abang ipar selepas diberitahu mandur tempat saya bekerja pada jam 10 malam," katanya yang juga buruh di sebuah kolam ternakan ikan di Pekan, Pahang.

Katanya, mandurnya dihubungi oleh mandur abang iparnya sebelum dia segera bergegas dari Pekan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kerana menyangka abangnya itu dihantar ke hospital itu.

Menurutnya, mandur abang iparnya tidak memberitahu bahawa abangnya sudah meninggal dunia dan hanya memaklumkan bahawa abang iparnya itu akan dihantar ke hospital.

"Lokasi kejadian sudah dekat dengan sempadan Kuantan jadi saya sangka abang dihantar ke hospital Kuantan. Lepas tahu abang tiada di hospital itu saya segera ke lokasi kejadian dan lihat mayat abang masih ada di tepi jalan. Ular yang membelitnya juga masih ada," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, belitan ular itu pada badan mangsa yang juga bapa kepada empat anak berjaya dileraikan selepas penduduk kampung yang datang  membantu menetak reptilia itu dengan sabit hingga ular berkenaan juga turut mati.

Menurutnya, ular itu disyaki agresif kerana baharu bertelur dan bersalin kulit.

Hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian, sepasukan anggota polis yang diketuai pegawai penyiasat yang juga pemangku Ketua Balai Polis Chukai, Sarjan Mejar Suhaimi Amat mendapati tulang rusuk kiri mangsa patah dan terdapat kesan gigitan di tapak tangan kiri mangsa.

Katanya, bedah siasat ke atas mangsa dilakukan pagi tadi untuk pengesahan punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Tiada ulasan: