Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Memang
menjadi tabiat dan naluri “pemberontak” bahawa mereka akan kurang sabar.
Masing-masing mahu perubahan berlaku segera dan mahu persekitaran
berubah menurut impian mereka.
Hal ini paling ketara pada tindak-tanduk parti-parti politik baru yang
melayan keyakinan bahawa mereka berupaya melaksanakan perubahan. Ini
membuat mereka sering gopoh menyusun tindakan politik.
Walaupun kalah teruk dalam pilihanraya negeri Sarawak dan Pilihanraya
Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu, “kegopohan dan
kedegilan” masih mewarnai politik Amanah.
Saban hari ia menekankan perbezaan politik mereka berbanding PAS. Bagi
menarik perhatian umum, mereka menumpukan perhatian kepada usaha
meremehkan PAS.
Malah mereka kelihatan angkuh dan sering mendabik dada bahawa ia lebih
memahami dan lebih bijak melaksanakan tuntutan sebuah parti politik
Islam. Bagi mereka PAS parti jumud dan sudah ketinggalan zaman.
Justeru terhamburlah kenyataan bahawa pengaruh dan saham PAS dalam
pemerintahan Selangor akan dilupuskan dan menonjolkan ramalan bahawa PAS
akan kehilangan lebih banyak kerusi berbanding apa yang ia sedia ada.
Kegopohan ini didorong oleh keinginan untuk menarik perhatian dan
menghunjamkan keyakinan dalam pemikiran rakyat bahawa Parti Pribumi
Bersatu Malaysianya (PPBM) berupaya menawarkan khidmat lebih baik
daripada parti lamanya, Umno.
Bermodalkan kegemilangan silam, baik pemimpin Amanah mahupun PPBM,
bersikap agak terlalu yakin dan ada kalanya kelihatan angkuh. Amanah,
misalnya, meramalkan PAS akan tersungkur dalam pilihanraya umum (PRU)
ke-14 kelak.
Bagaimanapun bagi PAS dan Umno ini bukan kali pertama mereka diterjah
oleh “pemberontak” parti. PAS pernah bertarung dengan Berjasa yang
ditubuhkan oleh bekas-bekas pemimpinnya.
Amanah beri tempoh 2 minggu
Maka Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pun mengumumkan pada 27
Januari lalu bahawa PAS diberikan tempoh dua minggu menentukan pendirian
mahu bekerjasama dengan PPBM dan akhirnya dengan Pakatan Harapan
menghadapi PRU 14.
Menurut Salahuddin, gabungan pembangkang tidak boleh lengah merangka
strategi besar menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam apa jua
kemungkinan sekalipun.
"Amanah berpandangan bahawa kita (PH dan PPBM) cukup terbuka dan
menunaikan tanggungjawab besar bagi menyatukan parti pembangkang.
"Masa telah tamat dan pertengahan Februari adalah garis penamat untuk
PH dan PPBM membuat keputusan muktamad," katanya dalam satu kenyataan.
Rundingan PPBM dengan PAS bertujuan mengelakkan pertindihan calon
sesama pembangkang yang dikhuatiri akan memberi kelebihan kepada
Umno-BN. PPBM telah mengikat perjanjian politik dengan PH pada Disember
lalu untuk tujuan berkenaan.
Bagaimanapun PPBM menetapkan 1 Februari berbincang dengan PAS hala tuju
kerjasama mereka, tempoh lebih dekat daripada kata-dua Amanah yang
menetapkan pertengahan Februari sebagai tarikh mutlak PAS mesti membuat
keputusan.
Namun begitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan
bahawa PAS menolak kehadiran DAP tetapi masih boleh berunding dengan
PPBM.
Keputusan PPBM “mempercepatkan rundingan kepada 1 Februari” dilihat
seolah-olah cuba “memberi isyarat” bahawa Amanah dan PPBM bersedia
menghadapi PRU 14 tanpa kerjasama PAS.
Mahathir pula menegaskan dalam mencari titik persamaan perjuangan,
parti-parti pembangkang perlu berkorban dengan membuat sedikit
“perubahan matlamat perjuangannya”.
"Kalau mereka hendak masuk (dalam gabungan pembangkang) setiap parti kena korbankan matlamat dan pendirian kita.
Amanah dan PPBM angkuh, berjiwa pemberontak
Kecenderungan “menggertak” PAS ini dipanjangkan oleh Naib Presiden
PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang berkata partinya mengambil
sikap “lantak” dan “tidak peduli” jika PAS keberatan bekerjasama dengan
PH.
"Tetapi kalau dia (PAS) fikir tidak guna buat kerjasama dengan kita,
lantaklah. Kita tidak peduli, kita boleh teruskan (kerjasama dengan PH)
sebab kita satu pertubuhan yang kuat. Jangan fikir dia sahaja yang
kuat," katanya.
Yang menambah kekeliruan ialah apabila Timbalan Presiden Amanah,
Salahuddin Ayub mengumumkan bahawa PAS sudah tidak menjadi sebahagian
Pakatan Harapan (PH) dan kini terpulang kepada parti itu untuk
bertanding seberapa banyak kerusi dalam PRU14.
"Oleh kerana dia (PAS) tidak ada dalam Pakatan Harapan, kita nak ajak
bincang (isu pembahagian kerusi) pun dia tolak dan tutup pintu
perundingan,” katanya.
Soalnya, sememangnya PAS tidak pernah menganggotai PH yang ditegakkan
PKR, DAP dan Amanah. Jika ada kaitan kerjasamapun ialah di antara PAS
dan PKR di Selangor. DAP telah mentalak PAS daripada Pakatan Rakyat.
Gelagat angkuh Amanah dan PPBM memang membayangkan mereka tidak serasi
dengan PAS. Salam damai yang dihulurkan oleh DAP hanya jerangkap politik
mahu memanfaatkan jentera pilihanraya PAS dalam PRU akan datang.
Tambahan pula Mahathir tanpa segan silu mengumumkan matlamat utama PH
ialah menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Hadi
jelas menyanggah matlamat ini kerana perjuangan PAS ialah mengubah
sistem pemerintahan negara.
Bagi Hadi menukar pemimpin bukan jaminan bahawa sistem politik yang
pincang akan turut berubah. Yang perlu ialah menerapkan sistem
pemerintahan Islam dan bukan melunaskan dendam terhadap seseorang
pemimpin sahaja.
Jiwa ‘pemberontak Amanah dan PPBM’ kini didandan oleh dendam dan
kepentingan politik jangka pendek untuk membuktikan ia adalah lebih baik
daripada Umno dan PAS bak cita-cita “ular yang bermimpi menjadi naga”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan