Khamis, 3 Mac 2016

Gempa bumi: Semua pelajar M'sia pulang ke rumah masing-masing

MALAYSIAKINI




Kesemua pelajar Malaysia di Padang, Sumatera Barat dilaporkan selamat dan telah pulang ke rumah masing-masing setelah pihak berkuasa menarik balik amaran tsunami ekoran gempa bumi sekuat 7.9 pada skala Richter malam tadi.

Konsulat Besar Malaysia di Medan, Amizal Fadzli Rajali, ketika dihubungi berkata, kesemua 70 pelajar perubatan Malaysia di Universitas Andalas, Padang yang berkumpul untuk menunggu arahan berpindah, telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Sebanyak 70 pelajar jurusan perubatan dari Malaysia itu sedang menjalani latihan klinikal di sebuah hospital di Kota Padang dan mereka telah dinasihatkan supaya pulang ke rumah tetapi sentiasa berwaspada dengan perkembangan terkini," katanya kepada Bernama di Jakarta.

Katanya, pihak konsulat sedang memantau keadaan dan menghubungi mereka dari masa ke semasa untuk maklumat terkini dan setakat ini keadaan dilaporkan mulai tenang.

Beliau berkata pelajar Malaysia di Medan dan Aceh pula tidak terjejas dengan gempa bumi itu kerana kawasan itu tidak mengalami gegaran.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia, L Gunaseelan, 26, berkata ketika gempa melanda kawasan itu, beliau bersama beberapa rakannya sedang menikmati makan malam di sebuah restoran berdekatan.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti ini dan ketika kejadian kami berasa panik melihat makanan di atas meja bertaburan dan jatuh ke lantai dan dalam beberapa saat pelanggan di dalam restoran itu menjerit dan lari keluar daripada bangunan restoran.

"Saya juga turut merasakan bangunan restoran setingkat itu seakan-akan bergerak ke kiri dan ke kanan," katanya ketika dihubungi Bernama di Jakarta.

Katanya walaupun berada dalam keadaan kelam-kabut namun beliau dan rakan-rakan masih mampu bertenang dan segera kembali ke kediaman dan mengambil barang-barang penting serta bergerak ke suatu tempat berkumpul yang jauh dari kawasan pantai.

Menurut beliau, kesemua pelajar telah dimaklumkan dengan situasi yang berlaku menerusi aplikasi WhatsApp dan memaklumkan keadaan semasa serta perkara yang harus dilakukan selepas kejadian gempa.

Pada pukul 9.30 malam waktu tempatan, mereka mula berkumpul di kawasan lapang iaitu kira-kira 10km dari kawasan pantai di Padang.

Stesen televisyen tempatan TVRI memaklumkan pihak berkuasa telah menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan susulan gempa bumi kuat itu.

"Meskipun amaran tsunami ditarik balik, kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan bag berisi pasport dan makanan.

"Kami juga terus berada di kawasan berkenaan selama sejam sebelum kembali beredar ke kediaman masing-masing," kata Gunaseelan yang merupakan pelajar tahun kelima kursus perubatan di universiti itu.

Gunaseelan turut memaklumkan setakat ini tiada pelajar Malaysia yang mengalami kecederaan dan dari semasa ke semasa berhubung dengan kedutaan Malaysia di Indonesia bagi mengetahui situasi semasa.

Sementara itu, seorang lagi pelajar perubatan dari univerisiti yang sama, R. Shaktipriya, 21, turut merasai gegaran kuat ketika sedang berkumpul bersama rakan di sebuah kedai makan.

"Saya segera berlari ke kaki bukit berdekatan untuk mendapatkan perlindungan," katanya.

Beliau dan rakan-rakan bagaimanapun berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk kawasan pantai di Padang, Sumatera Barat dilaporkan panik dan masih enggan enggan pulang ke rumah masing-masing walaupun pihak berkuasa telah menarik balik amaran tsunami.

Menurut laporan berita yang disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan, penduduk enggan pulang kerana khuatir berlakunya gempa susulan.

Polis dilaporkan telah membuat pengumuman awam bahawa keadaan dilaporkan selamat dan amaran tsunami telah ditarik balik.

Seorang penduduk kampung di persisir pantai yang dikenali sebagai Copi dipetik sebagai berkata, penduduk mungkin panik dan enggan pulang kerana tidak yakin dengan keadaan keselamatan mereka.

Katanya, penduduk bergegas pindah ke Kota Padang setelah mendengar bunyi siren dan amaran tsunami yang dikeluarkan.

Sementara itu, Singapura tidak mungkin terjejas berikutan gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegarkan pantai barat Pulau Sumatera, Indonesia, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan.

"Gegaran dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Singapura. tsunami mungkin berlaku dekat pusat gempa. Singapura tidak mungkin terjejas," kata agensi itu dalam laman sesawangnya.

Agensi itu melaporkan bahawa pusat gempa bumi ialah 808 km ke baratlaut Padang dan sedalam 10 km.
Agensi Meteorologi Nasional Indonesia telah mengeluarkan amaran tsunami bagi Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.- Bernama


Tiada ulasan: