SHAH ALAM – Graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menuntut agar Kementerian Pendidikan segera mengakhiri penantian mereka dengan menguruskan penempatan buat semua calon simpanan.
Tinjauan Sinar Online melalui laman mikro Twitter mendapati rata-rata graduan ISMP mengadu nasib kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalannya, Datuk P. Kamalanathan.
Pemilik akaun Twitter Akmar Atiqah menulis, “tolong Datuk Seri Mahdzir Khalid, buat sesuatu untuk kami yang mahu menjadi cikgu. Kami mahu ditempatkan. Dua tahun menanti.”
Permohonan sama ditulis pemilik akaun Fuaad Aziz, “Datuk Seri Mahdzir Khalid mohon semak kembali bagi urusan temu duga dan penempatan ISMP. Dua tahun menunggu bukan jangka masa yang singkat. Hari-hari berduka lara menanti.”
Manakala pemilik akaun Nur Jiha berdoa agar urusan penempatan mereka dipermudahkan.
“Moga jalan untuk mendapat penempatan dipermudahkan. Mohon pihak berkenaan memandang serius isu ini,” katanya.
Bagi Zahirah Samsul pula beliau berharap agar dapat ditempatkan pada tahun ini setelah menganggur sekian lama.
Sementara, Nur Aziana berkata, “kami sudah tidak tahu mahu suarakan di mana lagi luahan hati kami selain Mahdzir Khalid...dua tahun menganggur ISMP.”
Terbaharu, Mahdzir Khalid dilaporkan telah mengesahkan tiada sebarang pembekuan pengambilan guru baharu akan berlaku tahun ini.
Sebaliknya, beliau berkata graduan universiti awam (UA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan ditawarkan jawatan mengikut unjuran ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Sebelum ini, ketika Datuk Seri Idris Jusoh memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan II, beliau dilaporkan pada 5 Julai 2014 berkata, baki guru lulusan ISMP seramai 1,519 ditempatkan secara berperingkat September 2014 dan Januari 2015.
Manakala 2,733 graduan yang telah lulus temu duga dan layak untuk lantikan tetap DG41 telah ditempatkan pada 1 Julai 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan