NIBONG TEBAL: Seorang jurutera bersara berusia 72 tahun bersyukur
kerana dia tidak berada dalam kereta apabila 'powerbank' yang
ditinggalkannya di satu ruang simpanan barang dalam keretanya terbakar.
Mengimbas kembali kejadian itu petang Sabtu lalu, Tan Heng Swee berkata
dia telah meletakkan kereta Proton Iswaranya di bangunan Old Frees
Association di Jalan Sultan Ahmad Shah dan pergi makan tengah hari
bersama isterinya, Alice Tan, 67, di sebuah restoran berdekatan.
"Kira-kira sejam kemudian, pekerja tempat letak kereta bergegas
memberitahu saya bahawa terdapat asap berkepul dari kereta saya. Saya
terus mencapai pemadam dan memadamkan api.
"Kemudian, saya mendapati kebakaran itu berpunca daripada powerbank.
"Saya percaya cuaca panas telah menyebabkan berlakunya letupan kecil
itu. Nasib baik, tiada siapa yang cedera," katanya di rumahnya di
Simpang Ampat.
Heng Swee kemudian menulis mengenai kejadian itu di laman Facebook
untuk memberi amaran kepada orang lain tentang bahaya meninggalkan
powerbank di dalam kereta dan ia menjadi viral.
"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan mana-mana alat
elektrik atau powerbank dalam kenderaan mereka," katanya.
Katanya, kerosakan terhadap keretanya yang berusia 15 tahun itu masih
tidak dapat ditentukan tetapi pembaikan dijangka mengambil masa
kira-kira dua minggu.
Bulan lepas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah mendedahkan bahawa
beberapa jenis powerbank dibuat dengan bateri murah dan boleh meletup
dengan mudah atau menyebabkan kebakaran.
Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata jenis powerbank yang diimport
ini mudah didapati di pasar lambak, pasar malam dan pusat beli-belah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan