Khamis, 31 Mac 2016

Kemunculan Mahathir di Pandan malam tadi mengejutkan

BORHAN AHMAD


Tun Dr Mahathir di Pandan Jaya malam tadiTun Dr Mahathir di Pandan Jaya malam tadi


Kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad di Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia di Pandan malam tadi mengejutkan pelbagai pihak kerana bekas perdana menteri selama 22 tahun itu tidak dijadualkan untuk datang.

Sebuah laman online, Malaymail Online (MMO) sebelum ini melaporkan, PKR berpecah ekoran perebutan untuk mendapatkan Tun Mahathir antara timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan naib presiden Rafizi Ramli.

Azmin dikatakan oleh MMO menyekat Tun Mahathir dari datang ke majlis di kawasan Rafizi malam tadi kerana mahu Tun Mahathir datang ke majlis di kawasannya, Gombak.

Namun dengan kedatangan Tun Mahathir malam tadi, pelbagai tanda tanya timbul antaranya adakah laporan pertembungan dalam PKR itu palsu atau Tun Mahathir tidak mendengar kata-kata Azmin.

Tun Mahathir datang dan memberikan ucapan yang mendapat perhatian ramai malam tadi di Pandan Jaya.

Semasa berucap Tun Mahathir berkata ada orang berbisik kepada beliau, "Awak sudah tua. 22 tahun sudah jadi Perdana Menteri. Nak jadi perdana menteri lagi buat apa."

Tun Mahathir menjawab, "Saya kata saya sebelum ni letak jawatan. Ingin bagi peluang kepada generasi muda. Tetapi ini tidak berlaku.

"Kita berada di sini kerana negara bermasalah. Negara tidak ditadbir dengan baik. Pemimpin hidup belanja mewah yang bukan duitnya sendiri," kata Tun Mahathir.

Menurutnya, GST dikutip untuk membayar hutang kerajaan.

"Tu pun tak cukup. Kerajaan tak ada duit. Negara kita ini sudah rosak," kata Tun Mahathir.

Mahathir juga berkata, orang Umno marah kepada beliau dan bertanya kenapa sepentas dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

"Dulu dalam Umno apabila pemimpin buat salah Umno tegur. Umno kata undur lah, Tunku Abdul Rahman pun undur. Ini bila kita minta dia (Najib) turun, dia nak tangkap kita, ugut kita.

"Sebab itu kita berpendapat kita kena turunkan Najib. Sepatutnya Umno lah kena turunkan Najib. Tapi ketua bahagian, cawangan, buta, pekak, bisu. Tak nampak duit RM2.6 bilion," katanya.

Bagi beliau,  Umno tidak boleh menjatuhkan Najib.

"Nak ada undi tak percaya di Dewan Rakyat tetapi Najib dah bagi dedak banyak sangat. Penuh mulut dedak," kata Mahathir menyindir politik wang dalam Umno yang digunakan untuk menutup mulut pemimpin bawahannya.

Menurut Mahathir, beliau bersetuju dengan Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang kerana mereka bersetuju untuk menjatuhkan Najib.

"Itulah sebabnya kita berkumpul di sini," katanya.

Tiada ulasan: