Ahad, 27 Mac 2016

Gagal dapat sokongan punca Ku Li berpaling tadah

 Mahathir Mohamad
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama 
 
 
SHAH ALAM – Kegagalan veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah untuk meraih sokongan ahli Parlimen BN kepada usul undi tidak percaya yang digerakkannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak antara faktor tindakan terbarunya yang berpaling tadah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu didedahkan oleh Mahathir sambil mendakwa Tengku Razaleigh merupakan pemimpin Umno yang bertanggungjawab mencaturkan usaha untuk menjatuhkan Najib dari dalam parti itu menerusi undi tidak percaya.

“Barangkali dia sudah tukar pendirian, (sebelum ini) dia datang jumpa saya, dia kata boleh jatuh Perdana Menteri dengan undi tidak percaya. Lepas itu dia edar deklarasi undi tidak percaya dalam kalangan wakil rakyat (BN). Walaupun dia kata boleh dapat majoriti, (namun) dia tak dapat (sokongan).

“Dia pun tak buat apa, dia suruh orang lain buat. Dia suruh saya jumpa dengan orang Sarawak, saya pun pergi la ikut arahan, jadi akhirnya dia yang cadang nak bagi jatuh Najib, sekarang ini dia sokong Najib,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Mahathir juga menyifatkan pengkhianatan bekas rakan seangkatannya itu bukan sesuatu yang mengejutkan malah ia pernah dilakukan Ahli Parlimen Gua Musang itu sehingga menyebabkan Umno diharamkan.

“Saya sudah banyak kali dikhianati oleh dia, kita tahu bila dia kalah dalam pilihan raya, dia saman parti dan bawa ke mahkamah, kemudian mahkamah isytiharkan parti (Umno) haram.

“Saya terpaksa luangkan banyak masa untuk bina semula parti. Dia tidak sertai (bina semula Umno) tapi dia tubuhkan Semangat 46,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Tengku Razaleigh pada Khamis lalu yang menandatangani Deklarasi Kelantan untuk menyokong kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang menyaksikan perkara itu dalam satu pertemuan diadakan dengan Perdana Menteri bersama para pemimpin Kelantan berhubung isu rakyat dan pembangunan negeri itu.

Mahathir turut tidak mempersoalkan tindakan Tengku Razaleigh itu menyokong kepimpinan Najib kerana itu adalah hak ahli politik veteran Umno itu, namun beliau tidak sesekali menyokong pemimpin yang memiliki kekayaan diperolehi secara mencurigakan.

“Saya punya pendapat, orang bagi hilang RM42 bilion, yang ada duit RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi, saya tak sokong orang macam itu.

“Tapi Tengku Razaleigh sokong orang yang hilangkan duit itu (sebagai) perkara baik, itu hak dia,” ujarnya.


Tiada ulasan: