Ahad, 26 Julai 2015

Wartawan bersatu tolak penggantungan The Edge

MALAYSIAKINI



 
 
Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili dunia media massa akan menganjurkan protes terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan akhbar The Edge selepas mendedahkan dakwaan salah guna dana awam dalam 1MDB.

Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Gerakan Media Marah (Geramm), Institut Wartawan (IoJ), Wartawan Sans Frontieres (RSF), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), dan Kelab Wartawan Asing Malaysia.

"Susulan perkembangan mutakhir ini, kami selaku kumpulan mewakili bidang kewartawanan bersama mengecam keputusan KDN menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan yang berkuatkuasa 27 Julai ini.

"Mungkin ada isu etika mengenai cara The Edge Media Group mendapatkan maklumat yang membawa kepada pendedahan berhubung operasi dana 1MDB, namun ia sama sekali tidak mengabsahkan arahan penggantungan tersebut," kata kenyataan itu.

Gabungan berkenaan menyatakan, perhimpunan pada 8 Ogos ini disokong oleh masyarakat awam di sekitar Kuala Lumpur.

Keluar dari belenggu

Bagaimanapun lokasinya belum ditetapkan.

Selain itu, sebagai menunjukkan kebersamaan wartawan dengan rakan setugas mereka di kumpulan media berkenaan, satu lagi perhimpunan solidariti akan diadakan di pejabat The Edge di Petaling Jaya pada jam 3 petang Jumaat ini.

"Bagi media, ini adalah isu yang memberi kesan kepada kami semua. Kita semua #AtTheEdge.

"Apa yang telah berlaku kepada Edge ini bukan sesuatu yang baru dan tidak akan menjadi yang terakhir, melainkan jika kita semua secara kolektif bersuara terhadap perbuatan itu," kata gabungan itu.

Kenyataan sama menegaskan, isu etika ekoran pendedahan The Edge dalam isu 1MDB menunjukkan betapa perlunya media mendapat akses terhadap maklumat.

"Inilah masanya untuk keluar daripada belenggu rejim Rahsia Rasmi dan menuju Kebebasan Maklumat apabila maklumat menjadi hak awam.

"Kami juga menggesa agar tiada lagi campur tangan politik dalam media, dan akses terhadap maklumat yang melibatkan kepentingan awam tidak dihalang sama ada dengan undang-undang atau prosedur," jelasnya. 
 

Tiada ulasan: