KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Plaza Tol Gombak arah ke Pantai Timur
mulai sibuk setakat jam 3 petang tadi berikutan kebanyakan warga kota
mula pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), hanya laluan ke arah
timur mulai sesak manakala beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya
Utara-Selatan (PLUS) masih lancar, termasuk dari Slim River ke Sungkai
dan Jelapang ke Kuala Kangsar.
"Bagaimanapun, terdapat kemalangan dilaporkan di Kilometer 220.9 arah
selatan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar tetapi tiada penutupan
lorong utama. Trafik lancar," menurut posting terbaru LLM.
Status kemalangan di Kilometer 75.8 arah utara dari Machap ke Ayer Hitam juga dilaporkan selesai dan trafik kembali lancar.
Sementara itu, laman Twitter PLUS Expressways Bhd melaporkan, trafik
turut lancar di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah
(ELITE), Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Butterworth-Kulim
(BKE), Seremban-Port Dickson (SPDH) dan di Jambatan Pulau Pinang.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian
bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di
www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta
www.twitter.com/llminfotrafik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan