THE RAKYAT POST
Datuk Seri Rohani Abdul
Karim berkata pihak kementerian juga pernah menyita Taska yang
disabitkan dengan kesalahan tersebut. - Foto Facebook Rohani Abdul Karim
KUANTAN- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengambil tindakan terhadap Taska yang menyebabkan kecederaan kanak-kanak asuhan mereka.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya juga pernah menyita Taska yang disabitkan dengan kesalahan tersebut.
Beliau meminta semua pihak agar bersabar
dan menunggu sehingga polis selesai menyiasat kes seorang bayi perempuan
berusia empat bulan Putri Wafa Saifudin yang koma setelah disyaki
didera pengasuh di sebuah pusat jagaan di Alor Setar, Kedah.
“Kami sudah semak dan pegawai saya juga
sudah turun ke Taska itu. Taska tersebut didapati berdaftar (dengan
Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan operasinya didapati mengikut prosedur
operasi standard yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita semasa
menyampaikan sumbangan di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom, Penor
dekat sini.
Beliau berkata Taska itu masih beroperasi seperti biasa sehingga kementerian dapat memperincikan kejadian sebenar yang berlaku.
Sebelum itu, bayi berkenaan dilapor turut mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.
Pihak Kesihatan Negeri Kedah dilapor
sebagai berkata bayi tersebut berada pada tahap kritikal di Hospital
Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan mengalami pendarahan pada mata dan
otak.
Rohani berkata kes penganiayaan kanak-kanak boleh dilapor ke Talian Kasih di talian 15999.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata setakat ini tiada tangkapan
dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak
2001.
Beliau berkata pusat jagaan yang
menempatkan bayi malang itu telah beroperasi sejak tiga tahun lepas dan
berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Kedah
Datuk Dr Norhizan Ismail berkata berdasarkan pemeriksaan dan ujian
dijalankan mendapati bayi itu mengalami pendarahan pada bahagian
kedua-dua belah mata dan otak.
Beliau berkata bayi yang dalam keadaan
koma itu masih berada di tahap kritikal dan di bawah jagaan rapi doktor
pakar di wad rawatan rapi kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Dr Norhizan berkata hasil ujian makmal
dan imbasan sinar X pada tulang dan keseluruhan badan tiada menunjukkan
tanda-tanda kecederaan pada bayi itu.
“Bayi berkenaan menggunakan alat bantuan
pernafasan. Bayi ini lahir normal tanpa sebarang penyakit. Tidak pernah
ada rekod sawan. Perdarahan otak antara tanda-tandanya adalah sawan,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, memandangkan bayi mengalamai
perdarahan pada mata dan otak dengan tiada tanda kecederaan, pihak
hospital telah berbincang dengan bapa bayi berkenaan Saifudin Seman, 26,
yang bersetuju untuk membuat laporan polis.
Saifudin mendakwa bayi perempuannya itu
mengalami pendarahan pada otak dan mata dipercayai didera atau kecuaian
daripada pengasuh di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.
Katanya, bayi itu dikejarkan ke Hospital
Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani Rabu lepas oleh pemilik pusat
jagaan itu selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.
Anggota tentera dari Lapangan Terbang
Sultan Abdul Halim, Sungai Petani berkata disebabkan berada dalam
keadaan kritikal, bayi itu kemudian dirujuk ke HSB untuk mendapat
rawatan lanjut pada hari kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan