Isnin, 13 Julai 2015

Polis kenal pasti 20 laluan 'hotspot' kemalangan

SINAR HARIAN


kemalangan

Gambar hiasan


SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan mengenal pasti 20 jalan utama di negeri ini sebagai 'hotspot' berisiko kemalangan maut setiap kali musim perayaan.

Ketua Polis Negeri Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata Jempol merupakan daerah yang paling banyak 'hotspot' dengan empat kawasan.

"Justeru, pihak polis akan meningkatkan pemantauan berkala di semua lokasi terbabit yang sering menyumbang kepada kadar kemalangan di negeri ini.

"Tumpuan yang lebih akan diberikan kepada lokasi kerap berlaku kemalangan ini dan kita juga telah memulakan Ops Statik sebagai satu usaha dan langkah pencegahan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri di Plaza Tol Senawang dekat ini, hari ini.

Pelancaran kempen itu adalah anjuran bersama Lion Club of Seremban Central, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Menurut Jaafar, lazimnya bilangan kenderaan akan bertambah lebih-lebih lagi ketika menjelang Aidilfitri dan pengguna jalan raya dinasihat supaya mementingkan keselamatan dan berhati-hati ketika memandu.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang ingin pulang bercuti sempena Aidilfitri supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan bagi tujuan keselamatan.

"Tindakan memberitahu polis merupakan langkah bijak dalam membenteras aktiviti pecah rumah sepanjang musim perayaan. Jika tuan rumah memaklumkan kepada polis, kita akan menjaga rumah mereka dengan melakukan rondaan dari semasa ke semasa.

"Ini penting bagi mengurangkan gejala pecah rumah yang sering berlaku pada musim perayaan, lebih-lebih lagi penjenayah tahu rumah itu tiada penghuni," katanya.

Katanya borang balik kampung boleh didapati di mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama

Tiada ulasan: