MALAYSIAKINI
Sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
bukan sahaja disanjung sebagai negarawan tetapi juga turut mengumpul
pelbagai kritikan sepanjang pentadbirannya.
Tetapi keadaan sebaliknya berlaku kepada isterinya Tun Siti Hasmah
Mohamad Ali yang disegani kawan dan lawan kerana sikap lemah lembut dan
keibuannya.
Hasmah juga tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi.
Beliau sebaliknya lebih dikenali dengan kerja-kerja kebajikan melalui
badan isteri menteri-menteri BAKTI, minat mendalam pada sukan badminton
serta menjadi inspirasi sebagai doktor wanita Melayu pertama.
Ramai tertanya-tanya apa sebenarnya rahsia untuk menjadi seorang isteri kepada pemimpin tertinggi negara ini.
Dengan
meminta tidak membandingkan dengan sesiapa, Hasmah berkongsi
'resipinya' dengan Malaysiakini: Jangan bersaing dengan suami anda.
“Sebagai isteri PM, jangan bandingkan (dengan sesiapa)... secara umumnya
kamu mesti sokong suami, kamu mesti berpengetahuan, kamu mesti tahu apa
yang berlaku di sekeliling dan kamu mesti pastikan bersama dengan suami
apabila bertemu rakyat.
“Orang ramai hendak tahu bahawa ini isteri PM dan mereka bersama-sama, mereka mementingkan kekeluargaan.
“Jadi kamu mesti sokong tetapi jangan sesekali bersaing dengan suami kamu,” begitu pesan Hasmah.
'Jangan pandai-pandai janji'
Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia yang keempat dan paling lama dalam sejarah Malaysia bermula pada tahun 1981.
Setelah
bersara pada 2003, beliau bagaimanapun terus memainkan peranan penting
mempengaruhi perjalanan politik negara dan dilihat penyumbang penting
terhadap kejatuhan penggantinya sendiri Tun Abdullah Ahmad Badawi
sebelum ini.
Malah, Mahathir kini giat mengasak pentadbiran Najib yang terpalit
kontroversi sekitar dana pelaburan negara yang terbeban hutang, 1MDB.
Sementara itu, diwawancara Malaysiakini di Putrajaya pada Isnin
lepas, Hasmah juga berkata seorang isteri perdana menteri harus menjadi
orang tengah antara suami dan rakyat biasa, tetapi jangan mudah membuat
janji.
“Mereka (rakyat) tidak dapat jumpa suami, mereka jumpa isterinya. Dan
adalah minta apa-apa, jangan janji sesuatu. Cuma cakap kamu akan
sampaikan kepada suami kamu untuk pertimbang.
“Bukan kerja kamu beritahu orang ramai, 'ya, saya akan pastikan kamu dapat itu ini, kontrak itu ini'.
“Tidak,
sebagai PM, beliau (Mahathir) tidak akan benarkan perkara ini, malah
anak-anaknya sendiri tidak dibenarkan masuk politik. Saya anggota Umno
tetapi tiada jawatan dalam Umno,” katanya.
Ketika bercampur dengan orang ramai juga, Hasmah berkata seorang suami
harus dihormati “bukan sahaja kerana beliau suami kamu tetapi juga
perdana menteri kamu, seperti juga orang lain”.
Pengajaran dari orang miskin
Dengan perwatakan lemah lembut dan penampilan sederhana berbaju kurung
motif batik, Hasmah juga mengingatkan isteri pemimpin negeri supaya
sentiasa merendah diri dan tidak menyombong.
“Kamu mungkin doktor atau mungkin juga isteri MP (anggota parlimen),
tetapi jika kamu sombong, mereka (rakyat) tidak akan terima kamu,” kata
Hasmah.
Beliau
sendiri ,kata Hasmah, belajar semua itu ketika ditugaskan sebagai
doktor pertama wanita Melayu di Kedah, di mana beliau bercampur gaul
dengan rakyat biasa yang rata-ratanya miskin.
“Tetapi mereka ajar saya bagaimana untuk merendah diri, bagaimana buat
baik dan bercakap sopan dengan orang,” katanya mengimbau pengalaman
berkhidmat di Kedah ketika Mahathir masih dikenali sebagai “Doktor Umno”
di Alor Setar dan belum mempunyai jawatan dalam kerajaan.
Kini, di usia sembilan dekad, Hasmah tetap setia menemani suaminya ke mana-mana.
Malah, walaupun sudah bersara 12 tahun, Mahathir masih dianggap sebagai faktor penting perubahan politik dalam negara ini.
Di usia 90 tahun, siapa sangka Mahathir masih bertenaga mengharungi
pelbagai cabaran dunia politik. Semua ini pastinya tidak mudah tanpa
seorang Siti Hasmah di sisi.
Siti Hasmah diwawancara oleh JIMADIE SHAH OTHMAN, NORMAN GOH dan YAP JIA HEE.
1 ulasan:
Kalau kita tak bercita-cita BESAR, UBAN pun tak naik kepala. Tengok Hasmah, "rambut" hitam berkilat.....he he he
Catat Ulasan