Rabu, 1 Julai 2015

PAS gesa kerajaan batalkan kenaikan harga petrol

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS mengkritik tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol RON95 dan RON97 dan menyifatkan langkah berkenaan sebagai tidak wajar setelah rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barangan setelah pelaksanaan cukai GST, 1 April lalu. 
 
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, kerajaan sewajarnya mengambil pendekatan yang lebih bijak untuk mengurangkan beban rakyat, apatah lagi sambutan Aidilfitri akan berlangsung kira-kira dua minggu saja lagi.
 
"Kerajaan Malaysia didesak untuk membatalkan kenaikan harga runcit Petrol RON 95 sebanyak 10 sen seliter dan Petrol 97 sebanyak 20 sen seliter serta merta. 
 
"Tindakan menaikkannya adalah sangat tidak munasabah kerana berdasarkan Crude Oil Brent, harga pasaran dunia dalam relatif rendah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97 sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015 berkuat kuasa tengah malam tadi. Namun harga diesel kekal pada RM2.05 seliter.
 
Ini menjadikan harga RON95 pada waktu kini RM 2.15 manakala RON97 adalah RM 2.55.
 
Nasrudin dalam pada itu juga membidas tindakan kerajaan yang memaklumkan notis pemberitahuan mengenai perubahan harga minyak hanya akan diberikan kepada pengusaha minyak, setiap hujun bulan. 
 
"Kerajaan Malaysia juga dilihat cuba mengelirukan rakyat apabila mengambil sikap lepas tangan dengan tidak lagi memberikan notis awal kenaikan bahan api ini setiap hujung bulan. 
 
"Ini sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk membela nasib rakyat apatah lagi untuk mengambil langkah konstruktif mengurangkan beban rakyat," ujarnya.
 
Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu, tekanan kos sara hidup dan peningkatan inflasi ini dijangka akan terus berlarutan dan ia akan terus menekan golongan berpendapatan rendah. 
 
"PAS mendesak sekali lagi supaya kerajaan membatalkan kenaikan ini serta merta kerana tidak terdapat justifikasi kukuh," katanya lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: