ADNAN MOHAMAD
Ahli perniagaan Cina,
Datuk Seri Sunny Ung mendengar luahan fakir miskin sebelum memberi
sedekah kepada mereka berdekatan Masjid Muhammadi Kota Bharu di sini. -
Foto TRP/Adnan Mohamad
KOTA BHARU- Setiap kali penghujung Ramadan, suasana
di perkarangan Padang Merdeka dan Masjid Muhammadi (Masjid Negeri)
pastinya menjadi tumpuan ramai golongan fakir miskin bagi mendapatkan
sumbangan zakat daripada orang ramai.
Namun, di tengah kesibukan orang ramai
kembali ke rumah masing-masing selepas menunaikan solat sunat Tarawih,
tumpuan pastinya tertumpu kepada seorang dermawan Cina yang sejak
sembilan tahun lalu menyerahkan ‘sedekahnya’ kepada golongan fakir
miskin.
Insan terbabit, Datuk Seri Sunny Ung atau
lebih mesra dengan panggilan Datuk Sunny menjelaskan sumbangannya
kepada golongan terbabit tidak mempunyai sebarang motif, malah cuma
berharap golongan berada yang lain turut sama berbuat demikian.
Katanya, walaupun kesemua penerima
sumbangannya itu beragama Islam itu bukan persoalannya kerana apa yang
penting mereka yang susah perlu dibantu.
“Saya tahu kebanyakan yang berada di
kawasan ini adalah majoritinya rakyat negara jiran, Thailand yang datang
semata-mata bagi mendapatkan sumbangan zakat.
“Namun begitu, bagi saya mereka ini perlu
juga dibantu kerana ternyata mereka golongan susah dan ini terbukti
mereka sanggup datang dari jauh kerana tahu keprihatinan penduduk di
sini,” katanya yang tidak percaya mereka ini dibawa masuk ke sini oleh
sindiket tertentu.
Sunny berkata walaupun berlainan agama
dan bangsa tetapi rasa simpatinya kepada golongan fakir miskin ini
mengatasi segalanya dan sanggup membuang apa-apa sentimen agar semua
orang dapat merasai sedikit pemberian.
Pada 11 Julai lalu, Datuk Seri Sunny Ung
sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila mengikis perbezaan kaum dan
agama dengan membawa seramai 150 anak angkatnya untuk membeli belah
persiapan raya di Pasaraya Mydin, di sini.
Lengkap berpakaian baju Melayu, Sunny
dilihat muncul seawal jam 8 pagi bagi menunggu kumpulan anak angkatnya
sambil ditemani dua anak lelakinya, Adrian, 22, dan Andrie, 24.
Meskipun dikategorikan sebagai ahli
perniagaan yang berjaya, Sunny memberitahu dia sesekali tidak akan
membiarkan golongan miskin atau anak yatim hidup dalam kesusahan apatah
lagi menjelang sambutan hari raya tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Sunny juga mungkin
satu-satunya individu di negara ini yang ikhlas membantu sebuah pusat
tahfiz al-Quran tanpa sebarang syarat.
Yang lebih menariknya, usahawan berjiwa
emas ini juga antara pihak yang pertama sekali tampil menghulurkan
bantuan apabila pusat tahfiz al-Quran PEKAYATIM, di sini, dilanda banjir
tahun lalu.
Difahamkan, selain membantu di segi
keperluan asas seperti barangan dapur kepada lebih 20 pelajar tahfiz
terbabit, Sunny juga turut mendermakan pelbagai buku rujukan dan kitab
agama kepada pusat tahfiz itu.
Paling menyentuh rasa, usahawan terbabit
juga turut menyumbangkan kitab al-Quran kepada pusat tahfiz itu yang
sebelum ini banyak rosak dimusnahkan bah besar Disember tahun lalu.
2 ulasan:
SEMOGA ALLAH BUKAKAN HATINYA UTK PELUK ISLAM TANPA PREJUDIS
Aminnn.
Catat Ulasan