KOTA BHARU - Pas Kelantan mencadangkan agar PRK Parlimen Permatang Pauh dan Dun Chempaka tidak diadakan serentak agar kepimpinan parti dapat mengatur strategi meraih kemenangan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum dimaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan kerusi Dun Chempaka selepas pemergian Adunnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Surat rasmi mengenai kekosongan kerusi hanya boleh dikeluarkan Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kub, kita harap PRK Parlimen Permatang Pauh dan Dun Chempaka tidak diadakan serentak, susah untuk kita nak ulang-alik,” katanya kepada media di sini, semalam.
Ditanya mengenai pengganti Mursyidul Am Pas, Mohd Amar yang juga AJK Pas Pusat berkata, tidak ada pemilihan dalam mengisi jawatan tersebut, sebaliknya akan ditentukan Majlis Syura Ulama.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan pemergian Allahyarham Nik Aziz yang disifatkan kehilangan besar buat negara khususnya dalam perjuangan Islam.
Menurutnya, sumbangan Allahyarham dalam bidang dakwah dan politik Islam terlalu besar lebih-lebih lagi ketika mentadbir negeri ini sepanjang 23 tahun, malah banyak pembaharuan dan cetusan idea diberikan sehingga berjaya meletakkan satu tapak yang kukuh kepada pentadbiran berasaskan Islam.
“Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bukti yang jelas bagaimana bukti jelas pengiktirafan seluruh masyarakat terhadap kehebatan dan sumbangan yang diberikan Tok Guru,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan