MALAYSIAKINI
Masalah melibatkan stesen televisyen BERNAMA TV yang belum diselesaikan
sepenuhnya menjurus kepada siaran berita dalam bahasa Tamil tidak dapat
ke udara.
Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk
Zulkefli Salleh berkata penyelesaian penuh kepada masalah BERNAMA TV
sedang diusahakan.
"Setakat ini, penyelesaian jangka pendek dicapai. Penyelesaian jangka panjang mungkin mengambil sedikit masa lagi," katanya.
Ketua Pemuda MIC, Sivarraajh Chandra, Rabu memohon penjelasan berhubung
kekecewaan pengikut setia berita Tamil BERNAMA TV ekoran ketiadaan
siaran berita tersebut.
Dalam pada itu, Zulkefli menjelaskan gaji pekerja BERNAMA TV bagi bulan
Januari telah dibayar dan gaji bulan Februari juga akan dibayar seperti
dijanjikan.
Beliau menegaskan bahawa bagi memastikan masalah BERNAMA TV tidak terus
berlanjutan, entiti itu sedang mengambil langkah untuk mengurangkan kos
operasinya.
BERNAMA TV ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran berita 24 jam
dan BERNAMA memiliki 33 peratus ekuiti dalam BERNAMA TV Synergy Sdn Bhd,
syarikat usahasama yang menubuhkan BERNAMA TV.
BERNAMA TV menghadapi masalah ekoran hasil pendapatan syarikat yang
tidak dapat menampung kos operasinya termasuk pembayaran upah dan gaji.
Pada 9 Feb lepas, BERNAMA TV tidak beroperasi seperti biasa berikutan
sebahagian petugasnya tidak hadir bertugas ekoran kegagalan syarikat
pengendali membayar gaji mereka bagi bulan Januari.
Pada 12 Feb, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek mengadakan pertemuan dengan kira-kira 100 pekerja BERNAMA TV untuk
membincangkan masalah dan masa depan stesen televisyen berkenaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan