Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP menyelar alasan tidak munasabah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengaitkan bencana banjir di Kelantan dengan tsunami yang melanda Jepun pada tahun 2011.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, alasan MKN adalah cubaan menutup kegagalan dan kelemahan mereka menguruskan respon, bantuan serta pembinaan semula kawasan banjir.
“Sudah masuk minggu keempat banjir terburuk dalam sejarah negara berlaku, tapi fasa ketiga pembinaan semula pasca banjir belum pun bermula.
“Ini sebabnya saya menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk membuat kajian komprehensif pelan kesiapsiagaan pengurusan, bagi memastikan kelemahan dan kegagalan menjadi pengajaran pada masa akan datang.
“Lebih baik pemimpin kerajaan bangkit dari kerusi malas masing-masing dan mengambil pengajaran daripada kesilapan dan kegagalan pengurusan ketiga-tiga fasa iaitu respon, bantuan dan pembinaan semula,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan
Ujar Kit Siang, MKN seolah-olah mencari alasan dengan dakwaan tidak masuk akal bahawa cara Malaysia mengendalikan bencana tidak teruk berbanding tsunami yang melanda Jepun pada 2011.
Setiausaha MKN Datuk Thajudeen Abdul Wahab dalam wawancaranya bersama Malay Mail Online semalam berkata, tiada guna jika semua pegawai MKN dihantar ke Kota Bharu jika tidak ada komunikasi.
Kata Thajudeen, bencana banjir baru-baru ini melumpuhkan Pejabat Daerah Kelantan yang bertanggungjawab menguruskan bencana, punca MKN gagal melakukan koordinasi dan menerima maklumat.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menyatakan, beliau tidak menafikan banjir kali ini adalah terburuk, namun perbandingan dengan bencana melanda Jepun tidak masuk akal sama sekali.
“Walaupun bencana banjir 2014 yang melanda Kelantan dan daerah lain di Pantai Timur merupakan bencana terburuk, namun perbandingannya dengan Jepun amat tidak berasas,” ujarnya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan