Sabtu, 17 Januari 2015

DAP gesa polis hentikan amalan pilih bulu, siasat segera 1MDB

tony pua 2

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP hari ini sekali lagi mempertikaikan kredibiliti pihak polis yang sehingga kini tidak pernah melakukan siasatan terhadap penyelewengan 1MDB walaupun sudah lebih sebulan laporan polis dibuat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, tindakan itu jauh berbeza dengan apa yang berlaku terhadap peguam hak asasi manusia Eric Paulsen dan mengukuhkan lagi bukti bahawa polis sememangnya bersikap ‘double standard’.

“Memandangkan isu ini melibatkan salah laku serius dan hutang terkumpul sebanyak RM42 bilion dalam jangka masa hanya 5 tahun yang menjejaskan ekonomi negara, adalah penting untuk mengetahui apakah Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap 1MDB.

“Sudah lima minggu berlalu sejak laporan dibuat tapi adakah kenyataan telah diambil daripada pihak pengurusan atau pengarah 1MDB?” soalnya dalam satu kenyataan.

Pada 12 Disember lalu, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah membuat laporan polis terhadap 1MDB untuk menggesa siasatan secara terperinci dan menyeluruh dilakukan terhadap pengarah 1MDB serta wakil-wakil syarikat tertentu yang mungkin terlibat dalam skandal terbabit.

Khairuddin berkata, laporan tersebut dibuatnya selepas mengkaji pelbagai laporan dalam media cetak nasional dan antarabangsa serta media atas talian (online) yang jelas membuktikan terdapat kelemahan dalam pengurusan 1MDB.

Biarpun telah bertemu dengan Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB Datuk Seri Najib Razak, Khairuddin menyatakan beliau tetap tidak yakin dan telah memfailkan satu lagi laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, semalam.

Manakala, pada 12 Januari baru-baru ini, polis telah menahan Eric berikutan kritikannya terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Nampaknya pihak polis memilih untuk mendiamkan diri dalam isu 1MDB tapi menahan Eric dengan hanya satu tweet.

“Tweet Eric nampaknya lebih diberikan perhatian istimewa oleh pihak polis termasuk Ketua mereka sendiri Tan Sri Khalid Abu Bakar,” ujar Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tidak kira polis atau SPRM agar menjalankan tanggungjawab dengan menyiasat skandal sepatutnya lebih diberi perhatian kerana ia melibatkan wang cukai rakyat.

“Saya berharap isu ini tidak akan menjadi seperti kes-kes lain yang melibatkan kerajaan atau pemimpin BN di mana ia selepas itu akan diberikan anugerah ‘tiada tindakan lanjut (NFA)’.

“SPRM juga perlu menjalankan siasatan terperinci ke atas laporan Khairuddin terutama mengenai kadar faedah jauh lebih tinggi daripada biasa yang dibayar bagi bon 1MDB serta lebihan 10 peratus komisen, yuran dan caj yang dibayar kepada Goldman Sachs International untuk meningkatkan pinjaman AS6.5 bilion,” tegasnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: