MALAYSIAKINI
Enam sekeluarga yang dalam perjalanan pulang menyambut Hari Raya
Aidiladha maut setelah Perodua Alza yang dinaiki dipercayai terbabas
lalu merempuh sebuah bas dari arah bertentangan dalam kemalangan di
Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin malam tadi.
Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor
Yusof Ali berkata kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu turut
melibatkan sebuah kenderaan lain jenis Perodua Myvi.
Katanya setakat ini tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian
dikenal pasti sebagai Azhar Mat Ali, 43, Zaliha Johar, 42, masing-masing
dari Kampung Parit Pasir Lama, Pekan Nenas, Johor dan Siti Habibah
Kasbon, 43, dari Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor.
Tiga lagi mangsa belum dapat dikenal pasti, katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang
dinaiki tiga lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak
perempuan dari arah Segamat menuju ke arah Kuantan itu hilang kawalan.
"Kenderaan itu kemudiannya masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung
dengan sebuah bas yang tiada penumpang dari arah bertentangan,"
katanya.
Menurutnya, pada masa sama sebuah Perodua Myvi yang berada di belakang
Perodua Alza itu tidak sempat mengelak dan turut terbabas di tepi
longkang di tepi jalan berkenaan.
"Pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan