Khamis, 30 Oktober 2014

Isu komisyen: MP gelar 1MDB 'bodoh'

MALAYSIAKINI


 


Seorang anggota Parlimen (MP) menggelar 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai firma "bodoh" kerana membayar komisyen berlebihan kepada firma pelaburan Goldman Sachs.

MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, bayaran komisyen berkenaan adalah untuk penganjuran majlis kutipan derma pada 2012 and 2013.

Beliau merujuk kepada satu laporan akhbar The Edge, berhubung wang komisyen bernilai 10 peratus dari RM15.2 bilion yang berjaya dikumpul dalam majlis amal itu.

Pua mempersoalkan mengapa 1MDB membayar komisyen amat tinggi kerana kadar untuk acara sebegini biasanya hanya antara 0.2 hingga 2 peratus daripada dana yang terkumpul.

"Dalam keadaan biasa, pengumpulan RM 15.2 bilion oleh satu entiti tidak akan melibatkan kos lebih RM152 juta.

"Bagaimanapun 1MDB membayar RM1.54 bilion. Pengurusan tertinggi 1MDB adalah sekumpulan orang bodoh yang tidak cekap," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut menyifatkan pengurusan 1MDB sebagai pihak yang tidak tahu bagaimana menjalankan syarikat mereka.

Menurutnya, Goldman Sachs tidak beretika kerana tidak mendedahkan alasan untuk meminta fi terlalu tinggi daripada 1MDB.

Bagaimanapun, 1MDB tetap bertanggungjawab kerana kerana meneruskan tindakan itu.

"Rakyat Malaysia hanya boleh membuat satu kesimpulan. Pengurusan tertinggi 1MDB dianggotai golongan yang terdesak dan bodoh merelakan diri digunakan oleh Goldman Sachs yang tidak beretika," kata beliau.

Justeru, kata Pua, pengerusi pembaga 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada jalan lain selain memecat pengurusan tertinggi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Hazem Abdul Rahman.

Tiada ulasan: