Khamis, 30 Oktober 2014

Hari berkabung negara tepati Majlis Fatwa Kebangsaan?

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli meminta Perdana Menteri menyatakan adakah program perkabungan negara dan bertafakur pada 22 Ogos 2014 bertepatan dengan fatwa majlis fatwa kebangsaan.

Beliau mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan mengisytiharkan 22 Ogos lalu sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine.

Soalan ahli-ahli parlimen PAS yang disenaraikan pada hari ini sebagaimana di bawah.

Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Kesihatan menyatakan bagaimana serta apakah pendekatan yang diguna oleh Kementerian bagi mengawal pengamal perubatan tradisional dan perubatan alternatif yang kelihatan begitu meluas pengamalannya dalam masyarakat di Malaysia. Apakah usaha Kerajaan untuk membendung penipuan dalam kaedah pengubatan ini.   

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah [Kuala Terengganu] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan apakah langkah-langkah di ambil bagi mengawal pergerakan nelayan warga-warga asing yang menggunakan kemudahan pelabuhan Chendering di Kuala Terengganu supaya aktiviti-aktiviti mereka tidak menimbulkan masalah kepada orang ramai dan rakyat tempatan Malaysia.  

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan apakah kriteria pengesahan dan kenaikan pangkat seseorang Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim di Malaysia.    

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah Kementerian telah memikirkan baik buruk dari segi keselamatan negara apabila membuat keputusan untuk menjual tapak-tapak Pengkalan Tentera Darat dan Udara kepada swasta.  

Mohamed Hanipa Maidin [Sepang] minta Menteri Pendidikan menyatakan:-  

(a) secara terperinci apakah prosedur dan/atau garis panduan yang ditetapkan dalam penyediaan dan penjagaan soalan-soalan kertas UPSR sama ada sebelum dan selepas penyediaan soalan-soalan tersebut; dan
(b) berapakah kos keseluruhan secara terperinci yang ditanggung oleh Kementerian akibat kebocoran kertas- kertas Sains dan Bahasa Inggeris UPSR tersebut. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: