MALAYSIAKINI
Mesyuarat Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ)
meluluskan usul meminda perlembagaannya bagi menerima wartawan portal
berita dan stesen televisyen satelit sebagai anggota.
Usul berkenaan diluluskan dalam mesyuarat dwitahunan luar biasanya semalam, kata presiden NUJ, Chin Sung Chew.
Bagaimanapun, perkara itu perlu mendapat kelulusan Pendaftar Kesatuan
Sekerja terlebih dahulu sebelum dapat dilaksanakan, katanya ketika
dihubungi Malaysiakini.
"Kami menerima banyak pertanyaan dari wartawan portal berita yang berminat untuk menyertai NUJ.
"Jadi sekarang kami perlu mendapat mandat untuk meminda perlembagaan –
dan ia perlu dibawa kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja," kata Chin.
Kenyataan yang dikeluarkan NUJ hari ini menyebut, keanggotaan tersebut
meliputi organisasi yang diiktiraf oleh Kementerian Dalam Negeri.
Keputusan baru hari ini dicapai susulan kemunculan gagasan baru, Badan Wartawan Malaysia (IoJ) dan Gerakan Media Marah (Geramm).
Sejak penubuhannya, IoJ dan Geramm dikenali lantang dengan kenyataan
berhubung isu dan tindakan undang-undang yang mengganggu kerja-kerja
kewartawanan.
Mekanisme kemasukan anggota dalam kategori baru itu setakat ini belum
dapat dipastikan, namun lazimnya NUJ mensyaratkan setiap anggota
menyertai badannya melalui cawangan di organisasi masing-masing.
Dalam kenyataan medianya, NUJ turut menuntut agar undang-undang yang
menindas penerbitan berita serta mengekang maklumat dihapuskan dengan
segera.
"Perwakilan antara lain meluluskan usul untuk terus menuntut penghapusan
Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.
"Pada masa sama kami menggesa kerajaan agar melaksanakan Akta Kebebasan
Maklumat dan bertindak atas isu kesatuan...," kata Setiausaha NUJ,
Schave Jerome De Rozario dalam kenyataan itu.
Pemilihan yang dijalankan dalam mesyuarat hari ini turut menyaksikan
Chin Sung Chew mempertahankan jawatannya untuk penggal 2014-2016.
Wartawan kanan akhbar Sin Chew Daily itu menggantikan bekas presiden, Hata Wahari pada tahun 2011.
Beliau menewaskan Osman Lisut dari New Straits Times (NST) dengan majoriti 270 undi.
Turut mempertahankan jawatan mereka adalah naib presiden, basir Baharom dari NST dan Mohd Taufek Razak (Utusan Melayu).
Schave Jerome De Rozario (The Star) pula menang tanpa bertanding untuk jawatan setiausaha NUJ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan